JAKARTA- Presiden Indonesia Prabowo Subianto, meluluskan penerimaan bantuan daripada negara jiran bagi membantu memadamkan kebakaran hutan dan tanah gambut di negara itu.
Portal ANTARA melaporkan, Menteri Luar, Arrmanatha Nasir berkata, Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) sedang memuktamadkan prosedur operasi dan teknikal bagi menerima bantuan berkenaan.
“Perkara itu sudah dibincangkan dan sedang diproses. Seperti yang kita ketahui, presiden sudah memberikan kelulusan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat di Kompleks Parlimen di Jakarta pada Khamis.
Beliau berkata, Prabowo memantau rapat perkembangan kebakaran itu kerana ia kini menjejaskan dengan teruk beberapa wilayah di Indonesia serta rantau Asia Tenggara secara keseluruhan.
Sebelum mendapatkan sokongan serantau, Indonesia sudah menggerakkan sumber domestik dalam jumlah besar.
Sehingga 13 Oktober, seramai 60,177 anggota, termasuk anggota bomba, tentera, polis, pegawai perhutanan dan sukarelawan tempatan, dikerahkan untuk menangani kebakaran berkenaan.
Pesawat dan helikopter turut digunakan bagi melaksanakan operasi pengeboman air dari udara serta pembenihan awan di zon berisiko tinggi berlaku kebakaran.
“Langkah yang diambil Indonesia setakat ini adalah tegas dan menyeluruh, mencerminkan komitmen kukuh kami untuk menyelesaikan krisis ini secepat mungkin,” kata Nasir.
Pengumuman itu dibuat selepas Malaysia menawarkan memberi tawaran bantuan.
Dalam pertemuan dengan Prabowo di Hambalang, Jawa Barat, pada 18 September lalu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menawarkan sebuah pesawat, tiga helikopter dan 52 anggota pemadam kebakaran.
Prabowo sebelum ini menyifatkan jerebu sebagai krisis alam sekitar yang perlu ditangani bersama.
“Kebakaran berlaku di Indonesia, tetapi kesannya turut dirasai negara jiran. Oleh itu, kami mengalu-alukan sokongan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Nasir juga mengesahkan Indonesia sudah menyerahkan pelaporan berhubung usaha membendung kebakaran hutan dan tanah sewaktu krisis jerebu rentas sempadan terus melanda Asia Tenggara.
“Kami sudah berkongsi semua data operasi, termasuk langkah pembendungan, keadaan di lapangan dan perkembangan semasa,” katanya.
Beliau berkata, kerangka kerja serantau ASEAN yang ditadbir Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) menetapkan kewajipan pelaporan khusus bagi negara anggota yang terjejas akibat jerebu rentas sempadan.
“Indonesia secara konsisten memenuhi semua keperluan pelaporan,” katanya.
Nasir berkata, operasi pemadaman kebakaran berskala besar membantu mengurangkan jumlah titik panas harian di wilayah terjejas, walaupun keadaan cuaca terus menyukarkan usaha mitigasi berkenaan.
“Laporan terkini menunjukkan kemajuan ketara setiap hari, dengan jumlah titik panas terus menurun. Data operasi terperinci boleh diperoleh daripada Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB),” katanya.
Sebelum ini Malaysia dan Singapura menggesa operasi di lapangan dipertingkatkan dengan lebih tegas, susulan kemerosotan kualiti udara yang menjejaskan aktiviti awam di kawasan sempadan.
Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar Singapura, Grace Fu, berkata negara a itu bersedia menyertai kerjasama serantau bagi mengurangkan kesan kebakaran hutan dan tanah di seluruh ASEAN. – AGENSI



