KUALA LUMPUR: Datin Seri Norhazelim Che Hussin, isteri kepada bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR), Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin, tidak ditahan atau ditangkap ketika hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, semalam, menurut peguamnya, Sabrina Sharin.
Sabrina yang mengiringi Norhazelim berkata, kehadiran anak guamnya adalah bagi membantu siasatan dan tidak seharusnya disalahertikan sebagai suatu bentuk penahanan.
Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dilaporkan media sebagai menyebut isteri dan pembantu Nazir telah dilepaskan pada jam 1.15 tengah hari, 14 Oktober.
“Saya ingin menjelaskan bahawa Datin Seri Norhazelim tidak ditahan atau ditangkap oleh SPRM. Kehadiran beliau adalah bagi membantu siasatan dan status tersebut tidak seharusnya disalahertikan sebagai suatu bentuk penahanan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sabrina turut menjelaskan bahawa berdasarkan pengetahuan dan pemerhatiannya sepanjang mengiringi Norhazelim di SPRM, tiada sebarang perkara berkaitan YBR ditimbulkan.
“Saya juga mengesahkan bahawa sepanjang Datin Seri Norhazelim Bt Che Hussin berada di SPRM, berdasarkan pengetahuan dan pemerhatian saya selaku peguam yang mengiringi beliau, tiada sebarang perkara yang ditimbulkan berkaitan Yayasan Bank Rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan membezakan kehadiran seseorang untuk membantu siasatan dengan tindakan penahanan atau reman.
Menurutnya, penggunaan istilah dalam laporan media perlu mengambil kira konteks sebenar supaya tidak menimbulkan persepsi tidak tepat terhadap individu terbabit.
Sabrina berharap penjelasan itu dapat mengelakkan spekulasi atau salah faham yang boleh menjejaskan reputasi anak guamnya.
SPRM pada 14 Oktober memaklumkan Nazir, isteri dan pembantunya dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.
Menurut kenyataan suruhanjaya itu yang dilaporkan Bernama, Nazir hadir bagi menerima notis pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009, manakala isteri dan pembantunya hadir untuk dirakam percakapan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata Nazir enggan menerima notis tersebut dengan alasan beliau telah memfailkan permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Oktober bagi menghalang pelaksanaan arahan berkenaan.
Menurut beliau, proses rakaman percakapan isteri dan pembantu Nazir berlangsung selama satu jam 30 minit.
Sebelum itu, Nazir dan abangnya, Datuk Wira Mubarak Hussain, dilaporkan ditahan pada 30 September dan direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana yayasan.
Dalam sidang media pada 8 Oktober, Nazir mempertikaikan tindakan penggeledahan dan penyitaan oleh SPRM. Beliau turut mendakwa perkara berkenaan pernah disiasat pada 2022 dan, berdasarkan maklumat yang diterimanya ketika itu, tiada salah laku atau penyelewengan dikenal pasti.



