KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu pada Rabu bahawa tiada individu yang menolak atau membunuh Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Inspektor Wong Yew Zhung yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, berkata berdasarkan siasatannya, tiada sebarang unsur mencurigakan yang ditemui berhubung kematian Zara.
Ketika disoal peguam Joan Goh berkaitan kemungkinan kematian berpunca kemalangan, Yew Zhung berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada pakar.
Yew Zhung turut mengesahkan kepada Joan Goh beliau telah meneliti hubungan Zara dengan ahli keluarganya, yang mana mereka adalah antara 200 individu yang dipanggil untuk diambil keterangan.
Joan Goh kemudiannya bertanyakan sama ada siasatan polis ada mengenal pasti mana-mana pihak yang berkemungkinan mempunyai motif untuk memalsukan tulisan tangan Zara dalam diari serta 15 helaian kertas yang diserahkan kepadanya sebagaimana dimaklumkan dalam keterangannya sebelum ini.
“Tiada sebarang kepentingan bagi mana-mana pihak untuk berbuat demikian,” jawabnya memetik laporan BH di Sabah.
Terdahulu, ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, Yew Zhung berkata punca kematian Zara sudah pun dikenal pasti menerusi diagnosis doktor sebelum bedah siasat dijalankan.
Dilaporkan sebelum ini ibu Zara telah dimaklumkan oleh Dr Pavankumar Balachandran kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat ‘severe traumatic brain injury with hypoxic ischemic encephalopathy’ (kecederaan otak traumatik teruk berpunca daripada enselofopati iskemia hipoksik).
Yew Zhung setuju dengan soalan Shahlan bedah siasat tetap perlu dilaksanakan sekiranya punca kematian diketahui tetapi wujud keadaan atau keadaan sekeliling yang mencurigakan.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau percaya wujud sebarang keadaan mencurigakan di sebalik kematian Zara, Yew Zhung berkata penilaian awal berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian, maklumat diari Zara, dan diagnosis doktor mendapati tiada sebarang kejanggalan.
Beliau menambah, penemuan akhir siasatan juga menunjukkan tiada kecederaan lain pada tubuh mangsa selain daripada kecederaan yang berpunca akibat jatuh dari tempat tinggi.
Zara ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Pada 20 Ogos 2025, lima pesalah kanak-kanak yang dikenali dengan pseudonim Pelajar A, B, C, D dan E telah dihadapkan ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan menghina Zara. Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.
Prosiding inkues bermula pada 3 September 2025 bagi menentukan punca sebenar serta keadaan di sekeliling kematian Zara, termasuk menyiasat sama ada wujud pembabitan unsur jenayah.


