KUALA LUMPUR – Demi ikhtiar upah bermaruah untuk rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000
Menteri Kewangan itu mengumumkan, kadar gaji minimum RM2,000 ini berkuat kuasa mulai Jun 2027.
“Bagaimanapun, PMKS dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang untuk penyesuaian model perniagaan. Ini bermakna, lebih 4 juta pekerja tertakluk kepada kadar gaji minimum baharu.
“Kadar gaji minimum hanya menaikkan lantai pendapatan pekerja, sementara upah pekerja mahir masih tidak setimpal dengan tahap kelayakan mereka.
“Oleh itu, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekeerja dengan memperkenalkan gaji minimum bagi pekerjaan separa mahir dan graduan pada kadar RM2,5000 sebulan sebagai permulaan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan juga menyambut baik komitmen GLIC dan GLC yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 berbanding RM3,100 sebulan, langkah ini memberi manfaat kepada 230,000 orang pekerja.
“Kerajaan telah meningkatkan gaji minimum, menetapkan gaji minimum pekerjaan separa mahir dan graduan dan menaikkan gaji penjawat awam.
“GLIC dan GLC turut menunjukkan teladan. Malah, beberapa majikan sektor utama dalam perbankan serta minyak dan gas telah menetapkan gaji lebih wajar.
“Oleh itu, saya menyeru semua majikan swasta untuk mengikut jejak yang sama.
“Bagi menutup ruang majikan menggaji pekerja asing tanpa izin, syarikat selain PMKS hanya boleh menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji, sekiranya ia dibayar melalui akaun bank selaras dengan saluran dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955. Potongan cukai bagi perbelanjaan lain tidak tertakluk syarat ini,” jelas Anwar.



