Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Tiga orang nelayan tempatan yang mengendalikan bot pukat tunda Zon B1 disyaki menceroboh kawasan perairan Taman Laut Pulau Paya berjaya ditahan oleh sepasukan Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Negeri Kedah, pada Isnin.
Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris berkata, tangkapan dilakukan pada jam 10 pagi telah dilakukan atas maklumat awam.
Menurut beliau bot yang ditahan bersama peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM350,000 telah disita dan siasatan lanjut mengesahkan bot berkenaan telah menceroboh zon taman laut yang dilindungi.
Katanya, tindakan penahanan dibuat mengikut Seksyen 43(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan taman laut.
“Pemilik serta taikong bot turut ditahan mengikut Seksyen 53(b) akta yang sama kerana mengugut, menghalang, atau menggalang pegawai penjawat awam daripada menjalankan tugas.
“Kes ini telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan untuk tindakan lanjut, ”katanya lagi.
Beliau mengingatkan para nelayan agar tidak mengambil mudah akan tindakan pengawasan berterusan yang dijalankan pihak jabatan.
Tegasnya, perlindungan ketat di kawasan taman laut penting bagi memastikan kelestarian serta peningkatan sumber perikanan yang akhirnya memberi limpahan rezeki kepada seluruh kawasan perairan negeri Kedah.
Pindaan Akta Perikanan 1985 telah diwartakan dan mula berkuat kuasa dan pencerobohan Taman Laut boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta.
Tegasnya lagi, penggunaan peralatan dilarang (seperti bubu naga dan pukat rawa sorong), kadar denda baharu sehingga RM50,000. Manakala bagi kesalahan am seperti melanggar syarat lesen atau beroperasi tanpa lesen, kadar denda baharu sehingga RM100,000.
“Peningkatan sumber perikanan secara mampan bakal memberi manfaat kepada 7,609 orang nelayan di Kedah. Sebaliknya, sebarang kegiatan pencerobohan hanya akan menggagalkan usaha pemeliharaan yang sedang dijalankan.
“Semua nelayan diseru agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan demi menjamin kelangsungan sumber laut untuk generasi akan datang, ”ujarnya. – SUARA.TV


