KUALA LUMPUR – Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia–Indonesia (ISWAMI Malaysia) mendesak tindakan segera, tegas dan menyeluruh bagi menangani jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat.
Pemangku Presidennya, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, isu berulang itu memerlukan penyelesaian jangka panjang yang berkesan dan boleh diukur, bukan sekadar tindakan kecemasan apabila keadaan bertambah buruk.
Menurutnya, ISWAMI Malaysia bimbang terhadap ancaman jerebu yang menjejaskan kualiti udara di Malaysia susulan kebakaran hutan dan tanah di beberapa kawasan di Indonesia.
“ISWAMI Malaysia menegaskan bahawa jerebu bukan sekadar isu alam sekitar, malah melibatkan kesihatan awam, kesejahteraan rakyat dan tanggungjawab bersama negara serantau.
“Isu berulang ini memerlukan penyelesaian menyeluruh, bukan sekadar tindakan kecemasan ketika keadaan bertambah buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ISWAMI Malaysia menggariskan lima keutamaan bagi menangani isu berkenaan, termasuk memperkukuh pencegahan dan penguatkuasaan di Indonesia.
Langkah itu merangkumi usaha mempergiat pemadaman kebakaran, mencegah pembakaran terbuka serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang.
Pada masa sama, katanya, perlindungan kesihatan rakyat perlu diberi keutamaan melalui pemantauan kualiti udara, penyampaian maklumat dan nasihat kesihatan yang tepat serta langkah perlindungan, khususnya bagi golongan berisiko.
Orang ramai turut disaran merujuk bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan nasihat pihak berkuasa.
Ahmad Zaini berkata, kerjasama Malaysia–Indonesia juga perlu ditingkatkan menerusi perkongsian data titik panas, pemantauan pergerakan asap, pertukaran maklumat serta bantuan teknikal dan operasi pemadaman kebakaran apabila diperlukan.
Selain itu, komitmen ASEAN dalam aspek pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan perlu diperkukuh bagi merealisasikan rantau bebas jerebu.
Menyentuh peranan media, beliau menekankan kepentingan pelaporan yang tepat, berimbang dan bertanggungjawab dalam membantu masyarakat memahami isu tersebut.
“Media perlu mengutamakan fakta, pandangan pakar dan suara masyarakat terjejas serta mengelakkan naratif yang menyalahkan keseluruhan rakyat sesebuah negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa hubungan erat Malaysia–Indonesia harus menjadi asas untuk membincangkan isu jerebu secara terbuka dan matang tanpa mengetepikan kepentingan rakyat.
Katanya, rakyat kedua-dua negara berhak menikmati udara bersih dan persekitaran selamat.
“Oleh itu, jerebu rentas sempadan tidak boleh terus dianggap sebagai masalah bermusim tanpa penyelesaian jangka panjang yang berkesan dan boleh diukur,” katanya.
Menurutnya, kerjasama yang ikhlas, akauntabiliti yang jelas dan tindakan berkesan mampu memastikan ancaman jerebu tidak terus berulang sehingga menjejaskan kehidupan rakyat serta kelestarian alam sekitar.



