Bajet 2027: Pelepasan cukai naik RM12 ribu, PMKS terus dibantu – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR — Kerajaan meningkatkan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu mengurangkan beban cukai rakyat, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.1 juta pembayar cukai individu, selain pelbagai inisiatif lain yang dirangka bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati rakyat.

“Dari segi Kementerian Kewangan, kita telah mengkaji semula dan meningkatkan pelepasan cukai daripada RM9,000 kepada RM12,000. Jadi, kesemua individu pembayar cukai dalam negara ini, lebih kurang 1.1 juta orang akan menerima kenaikan pelepasan cukai,” katanya ketika mengulas Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus menjadi antara penggerak utama ekonomi negara, merangkumi kira-kira 94 peratus daripada keseluruhan perniagaan, menyediakan 48 peratus peluang pekerjaan dan menyumbang sekitar 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Justeru, katanya, kerajaan akan meneruskan sokongan kepada PMKS menerusi langkah termasuk bantuan aliran tunai dan pengurangan cukai bagi membantu perniagaan berkenaan menghadapi tekanan serta terus berkembang.

“PMKS adalah antara penggerak yang penting untuk negara. Jadi, kita kena memastikan PMKS ini terus berkembang dan terus maju. Tetapi kadang-kadang apabila tekanan datang, perkara penting ialah aliran tunai yang perlu disediakan untuk membantu mereka berkembang,” katanya.

Amir Hamzah turut menyentuh usaha meningkatkan pendapatan pekerja melalui sasaran gaji minimum RM2,000, selain pengenalan pendekatan gaji premium bagi pekerja separa mahir.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan memahami cabaran yang dihadapi PMKS dan memberikan pengecualian kepada sektor berkenaan daripada pelaksanaan gaji minimum tersebut buat masa ini.

Mengulas prestasi ekonomi, beliau berkata, pertumbuhan KDNK negara mencapai 5.7 peratus pada suku kedua 2026, manakala unjuran pertumbuhan ekonomi bagi keseluruhan tahun ini dianggarkan antara 4.4 hingga 5.3 peratus.

Menurutnya, pencapaian itu perlu disusuli dengan langkah memastikan hasil pertumbuhan ekonomi dapat disalurkan kepada rakyat, terutama bagi menangani kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

“Usaha kita dalam Belanjawan 2027 adalah untuk memastikan limpahan yang diperoleh apabila negara berjaya sebagai sebuah negara perdagangan yang baik dapat disalurkan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga meneruskan pendekatan penyasaran subsidi termasuk melalui BUDI95 dan subsidi diesel bagi mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang layak.

Menurutnya, Belanjawan 2027 turut mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh tatakelola, meningkatkan kualiti pekerjaan dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang dicapai negara dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih menyeluruh kepada rakyat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat