Belanjawan 2027 bukan sekadar angka, rakyat mahu perubahan – Shamsul Iskandar

KUALA LUMPUR — Belanjawan 2027 perlu menjadi titik penting untuk kerajaan MADANI memastikan dasar yang dirangka bukan sahaja kelihatan baik di atas kertas, malah benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Pengerusi Akademi Kepimpinan Masyarakat Madani dan Felo Kenegaraan, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat ini hadir pada masa penting ketika kerajaan perlu memastikan politik harapan terus dekat dengan denyut nadi rakyat.

Menurutnya, kejayaan sesebuah kerajaan tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan pencapaian ekonomi atau angka makro, sebaliknya turut dinilai melalui pengalaman rakyat dalam kehidupan seharian.

“Kerajaan tidak boleh jatuh cinta kepada statistiknya sendiri. Angka makro yang baik tidak semestinya menjadi pengalaman mikro yang baik.

“Seorang ibu tidak pergi ke pasar membawa angka inflasi. Anak muda tidak membayar sewa rumah dengan statistik pelaburan. Peniaga kecil tidak mengukur kehidupan melalui kedudukan Malaysia dalam indeks antarabangsa.

“Mereka mengukur kerajaan melalui kehidupan. Sebab itu Belanjawan 2027 harus menjadi lebih daripada dokumen fiskal. Ia mesti menjawab persoalan yang benar-benar dekat dengan kehidupan rakyat ,kos sara hidup, pendapatan, pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial.

“Pada akhirnya, rakyat mahu tahu satu perkara: adakah keadaan hidup mereka benar-benar berubah menjadi lebih baik?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul berkata, kerajaan sememangnya mempunyai pencapaian yang boleh diketengahkan, termasuk kadar pengangguran 2.9 peratus pada suku pertama 2026, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dan inflasi 1.9 peratus pada Jun lalu.

Namun, katanya, pencapaian tersebut perlu diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai rakyat.

“Persoalannya bukan sekadar berapa banyak wang dibelanjakan, tetapi sama ada Belanjawan 2027 mampu mempertemukan kejayaan ekonomi negara dengan realiti kehidupan keluarga Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul mengingatkan kerajaan bahawa politik tidak hanya bergantung kepada keputusan pilihan raya atau keputusan mahkamah, sebaliknya turut dipengaruhi sentimen dan hubungan politik yang dibina dalam masyarakat.

Beliau mengambil contoh Brazil yang menyaksikan pengaruh politik Jair Bolsonaro berkembang melangkaui sosok individu, selain fenomena “Bossku” yang masih wujud dalam masyarakat Malaysia walaupun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah disabitkan dalam kes SRC International.

“Mahkamah boleh mensabitkan seseorang. Tetapi mahkamah tidak boleh memerintahkan masyarakat supaya berhenti merinduinya.

“Politik ternyata lebih rumit daripada keputusan mahkamah,” katanya.

Menurut Shamsul, keadaan itu menjadi peringatan bahawa kerajaan perlu memastikan politik harapan tidak memberi ruang kepada politik kemarahan.

“Demokrasi mula kehilangan tapaknya apabila politik kemarahan lebih rajin turun ke bawah, lebih tekun mendengar dan lebih tersusun mengorganisasi rakyat daripada politik yang menjanjikan harapan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menggunakan baki 52 minggu untuk kembali mendekati rakyat, termasuk di warung, pasar, FELDA, kampung, flat, universiti dan tempat kerja.

“Bukan sekadar datang menerangkan dasar. Datang untuk mendengar.

“Dan apabila rakyat mengadu, jangan sekadar mengambil gambar dan mencatat. Kembali dengan jawapan,” katanya.

Shamsul turut menegaskan kerajaan tidak wajar menganggap setiap ketidakpuasan rakyat sebagai kegagalan komunikasi.

“Jangan setiap kali rakyat tidak berpuas hati kita mengatakan mereka tidak memahami dasar kerajaan. Mungkin rakyat sudah faham. Mereka cuma belum merasakannya,” katanya.

Beliau berkata, tempoh 52 minggu selepas Belanjawan 2027 perlu digunakan untuk menjawab tiga persoalan utama iaitu sama ada rakyat merasakan kerajaan hadir, sama ada kerajaan mendengar apabila rakyat bersuara dan sama ada kehidupan mereka berubah selepas kerajaan mendengar.

“Belanjawan 2027 boleh menjadi permulaannya. Kerana kekosongan politik tidak pernah kekal kosong.

“Apabila politik harapan meninggalkan ruang, politik kemarahan akan datang mengisinya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat