Norazlizam, Nurul Izzati dinobat penerima Anugerah Inspirasi JAKOA 2026

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Norazlizam Haziman a/l Salim dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Nurul Izzati Noorli dari Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI) Kuala Nerus telah dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Mahasiswa Inspirasi (AMI) JAKOA Tahun 2026 di Hotel Grand Wyndham Bangsar, dekat sini baru-baru ini.

Norazlizam penerima AMI bagi kategori mahasiswa lelaki berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor kini mengikuti pengajian Bachelor of Science (Hons.) Mathematics di UiTM.

Beliau mencatat prestasi akademik cemerlang dengan memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester serta mengekalkan purata nilai gred kumulatif (CGPA) melebihi 3.90 sepanjang pengajiannya.

Norazlizam turut aktif dalam pertandingan matematik, termasuk Malaysia Mathematics Invitational Championship (MMIC) 2026, serta berjaya mara sebagai finalis Olimpiad Matematik Universiti Malaya (OMUM) 2026.

Beliau juga aktif dalam program kemasyarakatan di luar kampus, khususnya aktiviti mempromosikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar sekolah.

Sementara itu, Nurul Izzati pemenang AMI bagi kategori mahasiswa wanita merupakan anak jati Orang Asli suku kaum Jakun dari Kampung Orang Asli Lama Kangkar Senangar, Batu Pahat, Johor merupakan pelajar ambilan 2024/2028, program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dalam bidang Teaching English as a Second Language (TESL) IPGKDRI.

Pengiktirafan ini diberikan atas komitmen dan sumbangan aktif beliau dalam bidang pendidikan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti Orang Asli, termasuk menerajui Projek Jok Belaja di Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak.

Nurul Izzati merupakan penerima Biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) 2024, mendapat tempat pertama dan Pingat Emas Peringkat Kebangsaan PPAL 4.0 melalui projek Word Hunters (2024), Pingat Emas dan Best Presenter KMJ 2023 (Kolej Matrikulasi Johor), Pingat Perak/Gangsa KIE 2023, dan Penerima Anugerah Kecemerlangan Murid Orang Asli SPM 2021.

Beliau turut memegang jawatan Setiausaha dalam Persatuan Mahasiswa Orang Asli Malaysia (PMOA) dan pernah menjawat jawatan Director of Talents & Ambassador, The Achievers Malaysia, SIG Coordinator, English Language Society (ELS) 2025/2026 dan juga Vice President, Drama Club, ELS 2024/2025.

“Saya mahu melihat lebih ramai anak Orang Asli bukan sahaja menamatkan persekolahan, tetapi berani melangkah ke universiti, IPG dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta menceburi pelbagai bidang profesional.

“Lebih ramai guru, doktor, jurutera, pensyarah, penyelidik, usahawan, pemimpin dan pembuat dasar daripada kalangan Orang Asli sendiri,”katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Dato’ Dr. Roslan Mahmood berkata, pengiktirafan ini adalah bukti usaha dan komitmen tinggi yang telah dicurahkan oleh mahasiswa Orang Asli.

Namun, jangan berhenti di sini, jadikan anugerah ini sebagai batu loncatan untuk terus melakar kejayaan yang lebih besar di peringkat yang seterusnya.

Menurut beliau, AMI merupakan satu acara hebat yang mengiktiraf kecemerlangan anak-anak Orang Asli di menara gading yang menjadi permata masyarakat yang bakal menyinari masa depan.

Menurutnya lagi, seramai 1,225 mahasiswa Orang Asli ketika ini sedang belajar di IPT dan dalam beberapa tahun lagi lebih seribu keluarga Orang Asli yang mempunyai anak berpendidikan tinggi, mungkin dapat berubah dengan kerjaya dan pendapatan yang lebih baik.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Anugerah Mahasiswa Inspirasi (AMI) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Tahun 2026. Turut hadir, Ketua Pengarah JAKOA, Muhammad Akmal Ila Ahmad; Pegawai-Pegawai Kanan KKDW, JAKOA serta wakil agensi.

Terdahulu, Dr. Roslan berkata, kerajaan telah melaburkan sebanyak RM9 juta ringgit untuk bantuan ke IPT dengan pelbagai program, ditambah inisiatif melalui Pelan Strategik Jabatan Kemajuan Orang Asli 2023–2026 dan Dasar Pembangunan Orang Asli (DPOA) yang menggariskan tentang kepentingan modal insan.

“Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Ini semua merupakan pelaburan kerajaan kepada komuniti kita. Yang penting, anak-anak semua jangan sia-siakan dan berputus asa.

“Kita berharap agar lebih ramai anak Orang Asli menjadi guru, jurutera, doktor, pegawai kerajaan, ahli akademik malah pemimpin masyarakat yang berwibawa, ”katanya.

Katanya lagi, kerja keras JAKOA dipuji terutamanya Ketua Pengarahnya yang banyak melaksanakan usaha bagi masyarakat Orang Asli baik di peringkat persekutuan, negeri dan daerah.

“Tiada mana-mana negara di dunia ini yang membangunkan sesuatu kelompok masyarakat melalui agensi kerajaan yang betul-betul fokus perihal hidup baik dari kelahiran, pendidikan, kerjaya sampai meninggal dunia.

“Berikan sokongan dan ambil peluang yang diberikan JAKOA, jangan percaya kepada mana-mana pihak di luar sana yang menuduh JAKOA atau saya sendiri mengabaikan nasib Orang Asli.

“Kerajaan telah memberikan bantuan dan pendidikan, jadi nilai segala sesuatu dengan maklumat yang betul dan jangan mudah menghukum. Kami sentiasa melakukan yang terbaik buat anak-anak Orang Asli baik yang dari pedalaman Gua Musang, Cameron ataupun yang berada di bandar, ”ujarnya.

“Gunakan kesempatan di menara gading ketika ini untuk tuntut ilmu dan pengalaman sebaik mungkin. Anak-anak semua ialah aset masyarakat kita. Teruskan berjuang dan jangan menyerah.

“Saya mendoakan agar kejayaan pada hari ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak pencapaian gemilang yang akan kalian lakar pada masa hadapan, Insya-Allah, ”ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, AMI 2026 anjuran JAKOA telah menghimpunkan seramai 280 mahasiswa Orang Asli dari 24 buah IPT bagi mengiktiraf individu yang cemerlang dalam pelbagai aspek selain memberi pendedahan berkenaan peluang kerjaya dan modal insan melalui kerjasama dengan pelbagai agensi.

Antaranya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dan MyDigital ID. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat