Saksi FELDA akui pembida lain bukan milik pengarah Synergy Promenade

KUALA LUMPUR — Saksi pertama FELDA mengakui di Mahkamah Tinggi bahawa syarikat-syarikat lain yang mengemukakan cadangan bagi tanah strategik milik agensi itu di Jalan Semarak bukan dimiliki oleh pemegang saham dan pengarah Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), Abdul Rahman.

Pengakuan itu dibuat ketika pemeriksaan balas terhadap bekas pengarah FELDA, Mohamed Ghouse Shajahan, 52, pada hari kedua perbicaraan saman sivil FELDA dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) terhadap 21 defendan.

Ketika disoal peguam bela Amrit Pal Singh, Ghouse bersetuju bahawa syarikat-syarikat berkenaan dimiliki oleh individu yang berbeza.

Ghouse sebelum itu menyatakan bahawa terdapat empat syarikat yang mengemukakan cadangan kepada FELDA dan FIC berkaitan pembangunan tanah tersebut.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada syarikat-syarikat itu dimiliki Abdul Rahman, Ghouse menjelaskan bahawa syarikat berkenaan bukan milik beliau.

Beliau berkata terdapat beberapa hubungan antara syarikat-syarikat tersebut dari segi pengarah dan pemegang saham, namun pemilikan syarikat adalah oleh individu yang berbeza.

Hakim Datuk Dr Arik Sanusi Yeop Johari turut mendapatkan penjelasan daripada Ghouse berhubung jumlah cadangan yang dikemukakan serta pihak yang berada di belakang syarikat-syarikat terbabit.

Ghouse yang berkhidmat sebagai anggota Lembaga Pengarah FELDA dari 26 Julai 2018 hingga 25 Julai 2023, turut ditanya mengenai proses mendapatkan cadangan bagi pembangunan tanah di Jalan Semarak.

Beliau berkata beliau tidak mengetahui sama ada Lembaga Pengarah FELDA pernah menghubungi Abdul Rahman secara langsung untuk mengemukakan cadangan pembangunan tanah berkenaan.

Saman itu membabitkan FELDA dan FIC dengan 21 defendan berhubung projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

FELDA dan FIC memfailkan tindakan berkenaan pada 2019, manakala SPSB turut mengemukakan tuntutan balas berkaitan perjanjian pembangunan tersebut.

Dalam tuntutan balas itu, SPSB memohon supaya terma perjanjian pembangunan dihormati atau, sebagai alternatif, menuntut ganti rugi melebihi RM1 bilion daripada pihak-pihak berkaitan.

Dalam prosiding sama, Ghouse memberitahu mahkamah beliau tidak pernah menyoal siasat bekas anggota Lembaga Pengarah FELDA atau pihak SPSB dalam siasatan berkaitan projek KLVC di Jalan Semarak.

Sebaliknya, beliau berkata siasatan dibuat berdasarkan dokumen, keterangan beberapa pihak, laporan forensik Ernst & Young (EY) serta nasihat guaman yang diterima FELDA.

Dalam prosiding semalam, Ghouse turut mengakui hanya seorang individu ditemu bual sepanjang siasatan yang dijalankannya dan keterangannya di mahkamah sebahagian besarnya berdasarkan laporan EY serta dokumen yang tersedia.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diteruskan pada Khamis.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat