KUALA LUMPUR– Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang penguatkuasaan, pencegahan rasuah dan pemerkasaan integriti, khususnya dalam mendepani cabaran yang semakin kompleks dalam persekitaran digital.
MCMC dalam kenyataan pada Jumaat berkata, usaha ini dijangka meningkatkan kesiapsiagaan kedua-dua agensi dalam menangani risiko rasuah dan salah laku yang semakin kompleks, di samping menyokong akauntabiliti serta penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan.
Majlis pertukaran MoU berlangsung di ibu pejabat MCMC, Cyberjaya, melibatkan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman.
“MoU ini menggariskan pendekatan rentas agensi yang lebih terselaras melalui perkongsian kepakaran dalam penguatkuasaan, penyiasatan, teknologi digital, pengurusan maklumat dan pencegahan rasuah, termasuk amalan terbaik berkaitan tadbir urus, integriti dan pengurusan risiko.
“Kedua-dua agensi juga akan memperluas kerjasama dalam pembangunan pengetahuan dan kemahiran melalui program advokasi, latihan, perkongsian ilmu dan pembangunan kapasiti, di samping memanfaatkan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), bagi membantu mengesan, mencegah dan mengurus risiko salah guna kuasa serta penyelewengan secara lebih sistematik dan berkesan.
“Inisiatif berkaitan boleh diperluaskan kepada industri dan pemegang taruh berkaitan.
“Selaras dengan peranannya sebagai penggerak ekosistem komunikasi dan multimedia negara, MCMC akan terus memainkan peranan pemudah cara dalam memperluas sinergi antara agensi ke arah budaya kerja yang lebih telus, beretika dan bertanggungjawab, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat, industri dan pelabur terhadap institusi awam serta ekosistem komunikasi dan multimedia negara,” katanya.



