KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hari ini menggesa agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan menyiasat kelewatan projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu) berkata, siasatan mendalam perlu dilakukan memandangkan projek itu membabitkan dana awam dalam jumlah yang besar.
“Bertahun-tahun perkara ini dibangkitkan dan orang tertanya-tanya apa sebenarnya masalah.
“Saya setuju perlu ada siasatan mendalam. Kalau perlu RCI, buat RCI.
“Rakyat perlu penjelasan mengenai penggunaan dana awam ini,” katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, adalah lebih wajar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat projek itu secara menyeluruh, disebabkan proses RCI yang akan mengambil masa dan lebih rumit.
“Siasat kelewatan projek ini terus dari 2013 hingga 2026. Dalam tempoh 13 tahun ini, sudah lima kali kerajaan bertukar dan ada lima menteri pertahanan.
“Jangan hanya pegawai atau jeneral pertahanan disiasat. Lima menteri pertahanan termasuk ketua setiausaha juga perlu disiasat. Mereka bukan maksum,” katanya menurut Utusan pada Rabu.
Isnin lalu, LKAN 2/2026 mendapati projek LCS lewat 7.55 peratus daripada jadual setakat 25 Jun, sekali gus menimbulkan risiko terhadap penyerahan fizikal LCS 1.
Kelewatan itu antaranya berpunca daripada sistem pelancar Naval Strike Missile (NSM) yang masih belum tersedia selepas permit eksportnya dibatalkan secara kekal oleh kerajaan Norway.
Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi dilaporkan berkata kelewatan antara 30 hingga 108 hari itu boleh menjejaskan tarikh penyerahan yang dijadualkan pada 26 Ogos atau sasaran disemak pada 26 Disember.
Beliau berkata LCS 1 tidak akan mencapai keupayaan penuh sekiranya diserahkan sebelum latihan dan sistem persenjataannya diselesaikan.
Kelewatan kapal pertama itu juga dijangka memberi kesan kepada jadual penyerahan LCS 2 hingga LCS 5.
Sementara itu, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berkata, kelewatan pembinaan LCS sudah berulang kali dibangkitkan di Dewan Rakyat dan bukan sesuatu yang mengejutkan.
Katanya, LKAN 2026 menunjukkan penyerahan fizikal LCS pertama sekali lagi berdepan kelewatan, daripada Disember 2026 kepada April 2027.
“Dari satu tarikh ke satu tarikh baharu. Laporan audit sekali lagi mengesahkan berlaku peralihan ‘tiang gol’ bagi penyerahan fizikal kapal LCS pertama.
“Kementerian Pertahanan perlu beri penjelasan, bukan hanya mahu menjaga hati kontraktor,” katanya.



