KUALA LUMPUR- Setiausaha Politik kepada Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Razlan Rafii menegaskan, tiada istilah lebihan berbelanja seperti yang dibangkitkan Lim Guan Eng.
Razlan menganggap kenyataan Guan Eng adalah berniat jahat dan sengaja untuk mencetuskan pemahaman yang mencipta pemikiran negatif.
Bidas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu lagi, desakan Guan Eng bermotifkan politik bertujuan untuk mencemarkan nama baik Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
“Sebagai bekas Menteri Kewangan Pakatan Harapan (PH), beliau sepatunyat lebih bijak sebelum membuat kenyataan.
“Dari mana beliau mendapat istilah “lebih berbelanja sebanyak RM2.1bilion? Adakah beliau memetik angka itu dari kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) sebelum ini . Atau beliau telah mendapat penjelasan dari kenyataan KSP sebelum ini?
“Saya minta juga KSP yang telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan kepada Ahli Parlimen DAP ini terhadap maksud kenyataan sebelum ini,” bidas Razlan.
Dalam pada itu kata Razlan lagi, Kementerian Kewangan perlu mengambil tanggungjawab penuh dalam memberi penjelasan kepada bekas Menteri Kewangan PH ini.
“Saya nasihatkan Guan Eng supaya cermin diri sendiri dahulu sebelum ini membuat desakan sedemikian rupa, dan sewajarnya beliau menyelesaikan dahulu kesnya di mahkamah.
“Inilah sikap biadab DAP yang menyebabkan ahli Umno tidak boleh menerima parti ini,” tempelak beliau.
Semalam Guan Eng berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar mengambil tindakan kepada Timbalan Perdana Menteri Zahid yang membelanjakan sebanyak RM 2.1 bilion lebih daripada peruntukan KKDW yang diluluskan.
Hal ini sama seperti tindakan SPRM ke atas pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menyuntik dana hampir RM 260 juta ke UiTM Holdings tanpa kelulusan Menteri Kewangan.
Kata Guan Eng , Zahid dan KKDW juga harus dikenakan tindakan kerana membenarkan perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan sebanyak RM 2.1 bilion agar menghindari kementerian-kementerian lain mengulangi kesalahan serupa yang boleh memudaratkan khazanah dan kestabilan kewangan negara.
Tegas pemimpin DAP itu lagi, Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan perbelanjaan KKDW pada 2023 berjumlah RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion, manakala pada 2024 sebanyak RM2 bilion berbanding peruntukan RM1.3 bilion. Pada 2025 pula, perbelanjaan KKDW direkodkan RM2.3 bilion berbanding peruntukan RM1.6 bilion.
“Perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM 2.1 bilion untuk tiga tahun tempoh 2023-25 semasa KKDW di bawah Zahid.
“RM 2.1 bilion bukanlah satu jumlah kecil sedangkan ia tidak menjadi masalah untuk tahun-tahun sebelum 2023.
“Perbuatan sedemikan oleh Zahid adalah tidak bertanggungjawab kerana melanggari prosedur dan tatacara kewangan sedia ada, yang boleh mengundang penguatkuasaan undang-undang berkaitan,” bidas Guan Eng.
Kata beliau, sekiranya SPRM tidak mengambil tindakan kepada Zahid dan KKDW kerana kedudukan beliau yang tinggi, maka ia amat tidak adil kepada UiTM kerana tidak ada penguatkuasaan undang-undang yang sama rata.
“SPRM harus bertindak dengan tegas dan cepat kepada KKDW dan Zahid Hamidi agar tidak dilihat sebagai mengamalkan siasatan berpilih dan antara dua darjat,” katanya.


