KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara perlu menerima kritikan dari pihak lain untuk memastikan langkah pemantauan serta akauntabiliti dapat dilaksanakan bagi menjamin keselamatan banduan di bawah seliaannya.
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya maklum tentang penafian jabatan itu berkaitan kenyataan penyanyi Yasin Sulaiman yang mengatakan mengenai kewujudan hierarki, pengaruh wang dan akses kepada dadah dalam penjara.
Pengarah Eksekutifnya Azura Nasron berkata SUARAM juga maklum bahawa Yasin kemudian menarik semula kenyataan berkenaan.
“Namun, penarikan semula kenyataan tersebut tidak seharusnya menutup persoalan yang lebih besar mengenai keselamatan, integriti dan akauntabiliti dalam institusi penjara,” katanya.
Azura berkata Suaram memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia Mohamad Rosidek Musa yang mengatakan ramai bekas banduan berjaya selepas dibebaskan dan mempersoalkan mengapa masyarakat perlu memberi tumpuan kepada perkara negatif.
Walaupun ada kejayaan bekas banduan dan program pemulihan perlu diiktiraf, namun ia tidak boleh mengetepikan tanggungjawab institusi penjara untuk memastikan keselamatan banduan.
“Pemulihan adalah tanggungjawab institusi penjara dan memastikan keselamatan banduan juga adalah tanggungjawab institusi penjara,” katanya.
SUARAM berkata persoalan utama bukan masyarakat memberi tumpuan kepada perkara positif atau negatif, sebaliknya adakah setiap individu di bawah seliaan negara dilindungi dari keganasan, penyeksaan, layanan buruk, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.


