Kemelut institusi Raja diwarisi daripada kerajaan terdahulu, Persekutuan jangan intimidasi kerajaan negeri – Ismail Lasim

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Haji Ismail Lasim mahu Persekutuan supaya menghormati batas kuasa Negeri dan mengingatkan bahawa kemelut institusi Adat dan Raja yang sedang melanda negeri itu berpunca dari pentadbiran terdahulu.

Beliau turut memberi amaran supaya pertikaian tersebut tidak dijadikan alasan untuk menekan atau melumpuhkan kerajaan negeri yang dipilih rakyat.

Dalam kenyataan tujuh halaman hari ini, beliau mendakwa kegagalan Menteri Besar ketika itu melaksanakan tanggungjawab menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, termasuk keengganan menyempurnakan proses yang sepatutnya, menyebabkan kemelut berlarutan dan menjadi semakin parah.

“Kerajaan Negeri menegaskan bahawa kemelut Institusi Adat dan Raja yang berlaku hari ini bukan berpunca daripada pentadbiran semasa, tetapi merupakan masalah yang diwarisi daripada Kerajaan terdahulu,” katanya.

Ismail bagaimanapun tidak menamakan bekas Menteri Besar yang dimaksudkan atau memperincikan proses yang didakwa gagal disempurnakan itu.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa kerajaan negeri atau dirinya telah “menurunkan” Yang di-Pertuan Besar. Menurutnya, Menteri Besar dan EXCO tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menentukan siapa yang menaiki atau meninggalkan takhta.

Katanya, sistem beraja Negeri Sembilan mempunyai aturan tersendiri berasaskan Adat Perpatih dan Undang-Undang Tubuh, termasuk peranan Undang Yang Empat serta Dewan Keadilan dan Undang mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Kerajaan Negeri tidak pernah mendakwa mempunyai kuasa sedemikian,” katanya.

*Jangan lumpuhkan kerajaan dipilih rakyat*

Ismail menegaskan pentadbirannya menerima mandat lebih dua pertiga majoriti dan mesti diberikan ruang untuk menjalankan fungsi eksekutif secara sah, tanpa campur tangan, intimidasi, tekanan atau sekatan.

“Tidak boleh mana-mana pihak menggunakan pertikaian institusi sebagai alasan untuk melumpuhkan pentadbiran negeri, menghalang keputusan eksekutif yang sah ataupun menjejaskan keupayaan Kerajaan Negeri memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Rakyat telah memberikan mandat. Mandat itu wajib dihormati,” katanya.

Menurut Ismail, kemelut itu tidak wajar digambarkan semata-mata sebagai pertentangan antara kerajaan negeri dengan Yang di-Pertuan Besar. Persoalan sebenar, katanya, melibatkan proses, bidang kuasa dan tafsiran terhadap tindakan institusi adat yang berkaitan.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak berhasrat menentukan keputusan bagi pihak institusi tersebut dan akan menghormati apa jua keputusan muktamad yang dibuat secara sah oleh pihak yang mempunyai bidang kuasa.

*Bangkit isu keyakinan terhadap pegawai kanan negeri*

Kenyataan itu turut menyentuh kedudukan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri di tengah-tengah pertikaian pentadbiran semasa.

Ismail berkata kerajaan negeri mengambil maklum mekanisme pelantikan jawatan utama berkenaan serta pendirian pihak berkuasa berkaitan. Sebarang persoalan tentang kedudukan pegawai terbabit, katanya, perlu diselesaikan melalui proses undang-undang dan pentadbiran yang sewajarnya.

Namun, beliau menegaskan persoalan mengenai keyakinan kerajaan terhadap profesionalisme, keberkecualian dan pematuhan kepada keputusan kerajaan yang dibuat secara sah tidak boleh diketepikan.

“Penjawat awam tidak seharusnya dilihat berpihak dalam pertikaian politik atau institusi sehingga menjejaskan kepercayaan terhadap neutraliti pentadbiran,” katanya.

*Peringatan kepada agensi Persekutuan*

Ismail turut mengingatkan agensi dan pihak berkuasa Persekutuan supaya menghormati bidang kuasa Negeri Sembilan dalam perkara yang tertakluk kepada undang-undang negeri dan adat.

Menurutnya, penghormatan kerajaan negeri terhadap Kerajaan Persekutuan serta Jabatan Peguam Negara perlu disertai penghormatan yang sama terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, kerajaan yang dipilih rakyat dan institusi adat negeri itu.

Beliau meminta pihak Persekutuan tidak mengambil tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai mengambil alih fungsi, menekan atau menentukan keputusan dalam perkara yang berada di bawah bidang kuasa negeri.

“Kerajaan Negeri tidak mencari pertelingkahan dengan Institusi Raja. Kerajaan juga tidak mahu adat dijadikan gelanggang politik.

“Namun pada masa yang sama, jangan jadikan kemelut adat dan institusi sebagai alasan untuk mengganggu, mengintimidasi atau menyekat sebuah Kerajaan Negeri yang sah daripada melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat,” katanya.

Ismail menutup kenyataannya dengan menyeru penyelesaian secara berhemah melalui proses adat dan perlembagaan, sambil mengingatkan falsafah Negeri Sembilan: “Biar mati anak, jangan mati adat.”

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat