Mahkamah putuskan TikTok yang bertindak, bukan MCMC sekat akaun

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, berjaya dalam bantahan awal terhadap permohonan mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman yang difailkan Ketua Armada Bersatu Selangor Na’im Brundage, berkaitan sekatan dua akaun TikTok miliknya, 3 tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Norliza Othman membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal MCMC dengan mendapati keputusan menyekat akaun berkenaan dibuat oleh TikTok, dan bukannya suruhanjaya itu.

Selain MCMC dan Fahmi, turut dinamakan sebagai pemohon dalam bantahan awal berkenaan ialah Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC, Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen, Pengerusi MCMC (tidak dinamakan) dan Kerajaan Malaysia.

Dalam prosiding hari ini, lima pihak itu dinamakan sebagai pemohon pertama hingga kelima manakala Na’im yang juga Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada Bersatu Malaysia sebagai responden.

Dalam penghakimannya, Norliza berkata, tiada keputusan dibuat oleh MCMC yang boleh tertakluk kepada semakan kehakiman kerana tindakan menyekat atau menggantung akaun berkenaan dibuat oleh TikTok.

“MCMC hanya mengambil tindakan pentadbiran dengan memaklumkan TikTok mengenai isu pematuhan garis panduan platform berkenaan dan tindakan seterusnya adalah keputusan TikTok.

“Semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 adalah berkaitan proses membuat keputusan dan bukan rayuan terhadap merit sesuatu keputusan,” katanya.

Kata beliau, persoalan utama yang perlu diputuskan ialah pihak yang membuat keputusan untuk menapis atau menyekat akaun TikTok responden.

“Mahkamah merujuk kepada surat bertarikh 24 Oktober 2024 dan peguam responden dimaklumkan bahawa MCMC mempunyai tugas dan kuasa tertentu untuk memberi amaran kepada TikTok berkaitan penerbitan kandungan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, selepas tindakan itu, TikTok kemudiannya menggantung atau menyekat akaun Na’im.

“Berdasarkan kenyataan berkenaan, tindakan menyekat atau menggantung akaun itu bukan dibuat oleh MCMC.

“Jelas daripada kenyataan itu sendiri menunjukkan bahawa keputusan untuk menyekat atau menggantung akaun TikTok bukan datang daripada MCMC.

“Mereka hanya mengambil tindakan pentadbiran dengan memberi amaran kepada TikTok mengenai kegagalan mematuhi garis panduan, sebelum TikTok mengambil tindakan menyekat atau menggantung akaun Na’im,” katanya.

Kata beliau, mahkamah hanya boleh menyemak cara sesuatu keputusan dibuat dan bukan menentukan sama ada keputusan itu sendiri wajar atau munasabah dari segi merit.

“Permohonan (semakan kehakiman) responden berasaskan andaian bahawa MCMC mengarahkan TikTok menyekat atau menapis akaunnya, sedangkan keputusan berkenaan dibuat oleh TikTok.

“Siapa yang membuat keputusan untuk menapis dan menyekat akaun? Sudah pasti TikTok yang menapis dan menyekat dan bukan MCMC.

“MCMC hanya menjalankan tindakan undang-undang dan pentadbiran. Ia tidak boleh dianggap sebagai satu keputusan yang boleh disemak,” katanya menurut BH pada Selasa.

Sebelum ini, Na’im mendapati, dua akaun TikTok miliknya disekat pada 2023, kemudian beliau memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 24 Jun 2024 terhadap tiga pihak berkenaan termasuk Fahmi dan kerajaan.

Na’im mahu mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan menyekat kedua-dua akaun itu.

Berdasarkan afidavit sokongan, beliau berkata, dua akaun media sosial berkenaan adalah medium untuk meluahkan pandangan serta pendapatnya mengenai isu semasa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat