Himalaya Wellness dan UPM luaskan kerjasama penyelidikan herba dan pembangunan bakat

KUALA LUMPUR, 22 September 2026 – Himalaya Wellness Malaysia dan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengembangkan kerjasama dalam bidang penyelidikan herba, pembangunan bakat serta hubungan antara akademia dan industri menerusi pertukaran Surat Hasrat (LoI) sempena University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026, hari ini.

Pertukaran Surat Hasrat itu disempurnakan oleh Cluster General Manager Himalaya Wellness bagi Malaysia, Singapura, Brunei dan Filipina, Kumaran Chandrasergaran, bersama Prof Ir Dr Abd Rahim Abu Talib (Timbalan Naib Canselor – Akademik dan Antarabangsa) mewakili YBhg. Prof. Dr. Shamsul Bahri Hj Md Tamrin, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Universiti Putra Malaysia.

Kerjasama berkenaan menjadi langkah awal untuk kedua-dua pihak meneroka beberapa bidang yang boleh memberi manfaat kepada penyelidikan universiti dan pada masa sama mempunyai kaitan dengan keperluan sebenar industri herba.

Menerusi kerjasama itu, kepakaran penyelidikan, fasiliti dan teknologi yang terdapat di UPM akan digabungkan dengan pengalaman Himalaya Wellness dalam bidang kesejahteraan berasaskan herba.

Antara perkara yang akan diberi perhatian ialah penyelidikan dan pembangunan produk serta suplemen berasaskan herba, selain usaha mengenal pasti bahan herba yang mempunyai potensi untuk dikaji dengan lebih lanjut dan dikembangkan untuk pasaran.

Kumaran berkata, perbincangan awal antara Himalaya Wellness dan UPM turut memberi tumpuan kepada beberapa jenis herba, khususnya nim atau semambu dan kunyit yang merupakan antara bahan penting dalam produk Himalaya.

“Sekarang ini kita sedang berbincang dengan pihak UPM untuk mengenal pasti herba yang boleh kita pasarkan di Malaysia dan bagaimana kita boleh bekerjasama dengan UPM dalam penyelidikan tersebut.

“Antaranya ialah nim dan kunyit. Dua bahan ini merupakan antara produk yang sangat penting bagi Himalaya,” katanya.

Menurut beliau, penyelidikan yang dijalankan bersama UPM bukan sekadar melihat kepada potensi bahan herba itu dari sudut akademik, tetapi turut mengambil kira kemungkinan untuk menghasilkan sesuatu yang mempunyai nilai kepada industri.

Beliau berkata, sekiranya terdapat hasil penyelidikan yang mempunyai potensi komersial, ia boleh diterokai untuk pasaran Malaysia sebelum diperluaskan ke pasaran antarabangsa.

“Himalaya kini berada di lebih 140 negara dan produk yang kami pasarkan mempunyai standard kualiti yang sama di seluruh dunia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kerjasama tersebut turut membuka ruang kepada pelajar UPM untuk mendapat pendedahan secara lebih dekat kepada industri melalui latihan industri dan peluang kerjaya.

Menurut Kumaran, peluang berkenaan penting kerana pelajar bukan sahaja mendapat pengetahuan melalui pembelajaran di universiti, malah boleh memahami bagaimana ilmu yang dipelajari digunakan dalam situasi sebenar di industri.

Himalaya Wellness juga melihat peluang untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai bidang kesejahteraan berasaskan herba yang semakin mendapat perhatian, khususnya dalam konteks penyelidikan, produk kesihatan dan perubatan komplementari.

Satu lagi bidang yang sedang dibincangkan ialah kemungkinan membangunkan program atau kandungan akademik berkaitan perubatan komplementari bersama UPM.

Cadangan tersebut antara lain bertujuan memberi pengetahuan tambahan kepada pelajar dalam bidang perubatan dan farmasi mengenai produk berasaskan herba, termasuk memahami bahan yang digunakan, penyelidikan di sebaliknya serta potensi penggunaannya.

Kumaran berkata, pendedahan seperti itu boleh membantu pelajar memahami bidang herba dengan lebih luas sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.

“Pelajar dalam bidang perubatan atau farmasi boleh mendapat pendedahan mengenai produk berasaskan herba dan potensi manfaatnya untuk pesakit pada masa hadapan,” katanya.

Selain peluang kepada pelajar, kerjasama itu turut membuka kemungkinan untuk melibatkan kepakaran serta kemudahan penyelidikan yang terdapat di UPM dalam projek R&D Himalaya Wellness.

Bagaimanapun, Kumaran berkata bentuk penglibatan tersebut masih belum diputuskan kerana kedua-dua pihak perlu mengadakan perbincangan lanjut bagi mengenal pasti jabatan, kemudahan dan bidang penyelidikan yang sesuai.

“Buat masa ini kita belum boleh mengesahkan perkara itu kerana kita belum duduk berbincang dan memuktamadkan perjanjian. Tetapi itu memang antara matlamat kita untuk bekerjasama dengan jabatan berkaitan di UPM,” katanya.

Menurutnya, pertukaran Surat Hasrat yang berlangsung hari ini lebih kepada permulaan kepada perbincangan yang lebih terperinci antara kedua-dua pihak.

“Hari ini merupakan titik permulaan. Selepas ini, kita akan duduk berbincang dengan pihak UPM untuk mengenal pasti projek-projek yang boleh kita jalankan bersama,” katanya.

Usaha meneroka penyelidikan herba itu turut mempunyai kaitan dengan program yang dijalankan Himalaya pada Ogos lalu sempena sambutan Hari Kebangsaan, apabila sebanyak 31 pokok semambu ditanam menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Kumaran berkata, semambu merupakan antara tumbuhan yang penting kepada Himalaya dan mempunyai kaitan dengan bahan yang digunakan dalam produk syarikat berkenaan.

Justeru, penyelidikan bersama UPM boleh membuka ruang untuk melihat dengan lebih dekat potensi bahan herba tempatan, termasuk aspek penyelidikan, pembangunan produk serta kemungkinan penggunaannya pada masa akan datang.

Selain penyelidikan dan pembangunan produk, kerjasama ini turut merangkumi penyertaan strategik berterusan dalam URIIS serta pembangunan dan pengintegrasian kandungan akademik berkaitan perubatan komplementari di UPM.

Kedua-dua pihak selepas ini akan mengenal pasti projek yang menjadi keutamaan sebelum menetapkan skop, tanggungjawab dan tempoh pelaksanaan bagi setiap projek.

Projek yang dipersetujui kemudiannya akan dimuktamadkan menerusi perjanjian berasingan, sekali gus membolehkan setiap bentuk kerjasama dilaksanakan berdasarkan skop dan matlamat yang telah dipersetujui bersama.

Bagi Himalaya Wellness, kerjasama dengan UPM ini memberi ruang untuk pengalaman industri dan kepakaran akademik bergerak seiring, terutama dalam usaha meneroka potensi bahan herba melalui penyelidikan yang lebih terarah.

Pada masa sama, UPM dapat menyediakan ruang kepada pelajar dan penyelidik untuk mendapatkan pendedahan yang lebih dekat dengan keperluan industri, sekali gus menghubungkan pengetahuan yang diperoleh di universiti dengan aplikasi sebenar dalam bidang kesejahteraan berasaskan herba.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat