KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Kawasan Lembah Pantai Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mengingatkan supaya semangat penyatuan ummah antara Umno dan Pas tidak dirosakkan gara-gara berebut kerusi.
Menurut pendaki Gunung Everest itu, perbezaan boleh dibincangkan, kerusi boleh dirunding dan yang penting, jangan sampai perselisihan sesama sendiri merugikan semua pihak.
“Menjelang PRU16, jangan kita rosakkan semangat penyatuan ummah hanya kerana perebutan kerusi dan kepentingan masing-masing.
“Berkongsilah pada yang lebih dan yang kurang.
“Berundinglah dengan penuh akhlak. Berbincanglah dengan penuh persefahaman.
“Perbezaan boleh dibincangkan. Kerusi boleh dirunding. Yang penting, jangan sampai perselisihan sesama sendiri merugikan semua pihak.
“Dan satu pesan saya: Jangan sembang lebat, semua nak jadi calon dan yakin menang kalau go solo bla bla bla.… akhirnya semua kalah dan hilang deposit 548!!!!
“Politik bukan sekadar siapa mahu menjadi calon. Sebaliknya, politik ialah siapa yang benar-benar sanggup buat kerja untuk rakyat… Jadi jangan sesekali hancurkan penyatuan ummah yang sedang dibina bersama,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Muqharabbin juga turut menyentuh perkembangan politik di Melaka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Saya boleh sampaikan secara peribadi, pada pandangan saya, Melaka masih kuat Umno-BN.
“Dulu? Ya. Dahulu memang ramai yang kurang gemar dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh Ab Rauf Yusoh.
“Tapi sekarang? Keadaannya sudah banyak berubah. Beliau semakin mendapat penerimaan daripada pelbagai lapisan masyarakat. Kenapa?
Kerana beliau tidak bergerak bersendirian. Di sekelilingnya ada pemimpin-pemimpin seperti Datuk Dr Akmal Saleh , Datuk Mohd Noor Helmy , Datuk Dira Abu Zahar , Datuk Wira Rais Yasin , Datuk Fairul Nizam Roslan , Datuk Ridhwan Ali , Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta beberapa Adun lain yang turun padang, buat kerja dan berusaha melaksanakan manifesto.
“Begitulah juga kekuatan Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Kekuatan sesebuah parti bukan sekadar pada nama atau slogan, tetapi turut bergantung kepada pemimpin yang turun bekerja, mendepani isu rakyat dan berani memikul tanggungjawab,” ujarnya.



