Najib sudah lalui proses undang-undang, tidak terima apa-apa layanan istimewa

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menjalani semua proses undang-undang dibicarakan, rayuan dan dihukum serta kini menerima pengampunan yang menunjukkan beliau tidak menerima apa-apa layanan istimewa, demikian kata Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) Datuk Mohd Omar Mustapha.

Menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook, beliau meminta pihak lain tidak membuat andaian yang tidak elok apabila membuat perbandingan antara dihukum melalui undang-undang dan kemudian menerima pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong.

“Jangan pula apabila beliau dihukum kita kata itu kedaulatan undang-undang, tetapi apabila Raja menggunakan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, tiba-tiba kita kata itu layanan istimewa,” katanya.

Beliau berasa agak hairan apabila sekarang ada yang bercakap seolah-olah Najib sedang diberikan layanan istimewa.

“Layanan istimewa yang mana? Beliau telah didakwa, dibicarakan, disabitkan dan dipenjarakan. Beliau telah berada di penjara sejak 23 Ogos 2022.

“Pengampunan bersyarat yang diberikan sekarang pula bukan membatalkan sabitan beliau.

“Ia membolehkan baki hukuman dijalani di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta,” katanya menerusi hantaran berkenaan.

Omar berkata, jika Najib boleh menjalani hukuman seorang diri, beliau tidak melihat ada apa-apa keistimewaan dari segi layanan yang diterima apabila Seri Paduka Baginda menunjukkan ehsan kepada beliau.

Menurutnya, pada masa sama beliau tidak menolak perihal isu pendakwaan terpilih.

Katanya, kes melibatkan 1MDB bukan satu skandal yang kecil dan melibatkan berbilion ringgit, ramai individu, banyak syarikat dan akaun di dalam dan luar negara serta ada nama-nama tertentu berulang kali disebut dalam siasatan dan mahkamah.

“Jadi soalan rakyat sangat mudah. Skandal ini begitu besar, takkan akhirnya Dato’ Sri Najib seorang sahaja yang kena dakwa? Kalau ada orang lain yang merancang, mengawal akaun atau membantu melaksanakan penyelewengan itu, mengapa mereka sehingga sekarang tidak turut dibawa ke muka pengadilan?” soalnya.

Omar berkata Najib sendiri hadir ke mahkamah dan dibicarakan serta disabitkan hukuman tetapi apabila ada bukti terhadap orang lain, organisasi lain di luar atau dalam negara, mereka juga perlu didakwa.

“Undang-undang tidak boleh keras kepada seorang tetapi lembut kepada yang lain,” tegasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat