KUALA KRAI – Beberapa kawasan di Manek Urai didapati sudah dinaiki air ekoran hujan lebat dua hari lalu dan juga ekoran banjir di beberapa lokasi di Gua Musang selepas hujan turun dengan lebat di negeri Kelantan.
Tinjauan Suara TV di beberapa lokasi di dalam Manek Urai Lama mendapati ada dua laluan utama sudah dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan seperti kereta dan motosikal.
Kenderaan yang boleh melalui kawasan itu kenderaan seperti pacuan empat roda dan kenderaan berat seperti lori.
Jika hujan turun berterusan selama beberapa jam hari ini, ada beberapa lagi laluan akan dinaiki air sehingga tidak boleh dilalui kenderaan dan menyukarkan penduduk untuk bergerak keluar menggunakan kereta.

Tinjauan ke Sungai Lebir dalam kawasan Manek Urai Baru pula mendapati paras air sudah naik dengan ada sampah berupa batang kayu dan daun dihanyutkan air dari hujan yang berlaku di kawasan hulu seperti di Gua Musang.
Menurut beberapa penduduk, jika berlaku banjir di Gua Musang biasanya tidak lama selepas itu kawasan Manek Urai akan dinaiki air walaupun cuaca tidak hujan.
Pada setiap kali hujan lebat yang berlarutan lebih satu hari, penduduk akan melakukan tinjauan di lokasi yang dikenal pasti oleh penduduk setempat akan dinaiki air sebagai langkah berjaga-jaga untuk bersedia berpindah jika paras air mula naik untuk mengelak tragedi banjir pada 2014 berulang.
Penduduk Manek Urai pada tahun 2024 mengambil langkah berhati-hati ekoran ada dakwaan banjir besar akan berlaku setiap 10 tahun tetapi keadaan banjir tidak begitu membahayakan pada masa itu.
Kelihatan juga kenderaan tentera sudah mula masuk dan meninjau keadaan paras air di dalam kampung dan kereta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah diletakkan di lokasi strategik untuk memerhatikan keadaan.
Manek Urai menjadi tumpuan negara pada Disember 2014 apabila terjadi bencana alam paling buruk dalam negara dan kejadian banjir itu diberi nama ” Bah Kuning” oleh penduduk setempat keraba air banjir yang melimpah bukan air biasa malah sarat dengan lumpur pekat berwarna kuning.



