SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Haji Ismail Lasim menegaskan sebarang tindakan memberhentikan atau menamatkan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) tanpa nasihat beliau adalah tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.
Beliau berkata, kedudukan dan tempoh perjawatan EXCO perlu ditafsirkan berdasarkan prinsip Raja Berperlembagaan serta peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 secara menyeluruh.
“Mana-mana tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang EXCO yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar merupakan satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ismail berkata, berdasarkan Bahagian Kedua UUTKNS 1959, kuasa Yang di-Pertuan Besar dalam hal pentadbiran negeri hendaklah dijalankan atas nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menurutnya, Perkara 40(1) UUTKNS 1959 menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Besar hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar ketika menjalankan fungsi pentadbiran atau eksekutif di bawah Bahagian Kedua Perlembagaan Negeri.
Katanya, kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Besar dalam hal pentadbiran pula hanya meliputi perkara yang dinyatakan secara khusus di bawah Perkara 40(2).
“Kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan EXCO secara bersendirian tidak termaktub dalam lingkungan kuasa budi bicara ini,” katanya.
Ismail turut menegaskan bahawa Perkara 38(5), yang menyentuh tempoh perjawatan seseorang EXCO, tidak boleh dibaca secara berasingan.
Sebaliknya, peruntukan itu perlu dibaca bersama-sama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1) UUTKNS 1959.
Menurut beliau, tafsiran secara harmoni terhadap ketiga-tiga peruntukan berkenaan bermakna sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan EXCO ketika pentadbiran masih berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar.
Ismail dalam masa sama menafikan pernah dirujuk atau memberikan sebarang nasihat berhubung pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Sembilan.
“YAB Menteri Besar tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) UUTKNS.
“Dengan itu, tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO yang baharu kerana EXCO sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat dipelihara berlandaskan undang-undang yang sah.



