JETOUR T2 i-DM: SUV untuk kegunaan harian, bila hujung minggu nak terus mengembara

sebuah SUV bukan sekadar digunakan untuk ulang-alik ke pejabat, tetapi dalam masa sama perlu bersedia untuk perjalanan jauh dan aktiviti hujung minggu, JETOUR nampaknya mahu menawarkan satu pilihan yang boleh memenuhi kedua-dua keperluan tersebut.

Itulah antara tarikan utama JETOUR T2 i-DM, yang dilancarkan secara rasmi di Malaysia sebagai SUV Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV). Menariknya, model ini cuba menggabungkan karakter lasak T2 dengan teknologi hibrid yang lebih praktikal untuk kegunaan seharian.

Dengan sistem Intelligent Dual-Mode (i-DM), T2 i-DM hadir dengan enjin 1.5L TGDi, transmisi hibrid khusus tiga kelajuan dan dua motor elektrik. Gabungan sistem ini menghasilkan kuasa sehingga 265kW dan tork maksimum 610Nm.

Tetapi angka prestasi bukan satu-satunya perkara yang menarik perhatian. Apa yang lebih relevan untuk pengguna harian ialah keupayaan T2 i-DM menawarkan jarak pemanduan gabungan sehingga 1,200km, manakala jarak pemanduan elektrik sepenuhnya pula melebihi 100km.

Maksudnya, untuk perjalanan harian yang lebih pendek, pemanduan elektrik boleh menjadi pilihan. Bila tiba masa untuk perjalanan jauh, sistem hibrid pula memberikan fleksibiliti tanpa terlalu bergantung kepada pengecasan semata-mata.

Salah satu perkara menarik mengenai T2 i-DM ialah sistem hibridnya tidak hanya bergantung kepada satu mod pemanduan.

Sistem i-DM direka untuk menyesuaikan penggunaan kuasa mengikut keadaan. Ketika bergerak perlahan atau di kawasan perumahan, EV Drive digunakan. Dalam kesesakan bandar, sistem boleh menggunakan Series Hybrid, manakala ketika memotong atau mendaki bukit, Dual Power Boost membantu memberikan kuasa tambahan.

Untuk perjalanan di lebuh raya pula, sistem boleh beroperasi dalam Parallel Hybrid. Pada masa sama, tenaga ketika membrek dan menuruni bukit boleh dikembalikan melalui sistem regenerative braking.

Pendek kata, pemandu tidak perlu terlalu memikirkan bila perlu menggunakan kuasa elektrik atau enjin kerana sistem akan menguruskan peralihan tersebut mengikut keadaan pemanduan.

T2 i-DM menggunakan bateri LFP berkapasiti 18.4kWh. Bateri ini turut dilengkapi perlindungan IP68, sarung bateri berketahanan tinggi dan perlindungan bahagian bawah kenderaan.

Untuk mereka yang gemar melakukan aktiviti luar, satu lagi ciri yang mungkin berguna ialah Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 3.3kW. Fungsi ini membolehkan bateri kenderaan membekalkan kuasa kepada peranti luaran yang serasi.

Jadi, apabila berkhemah, melakukan aktiviti luar atau sekadar berada di lokasi yang jauh daripada sumber elektrik, kenderaan ini boleh berfungsi sebagai sumber kuasa mudah alih.

Dari segi pengecasan pula, T2 i-DM menyokong pengecasan DC sehingga 57kW. Pengecasan daripada 30% kepada 80% SoC mengambil masa sekitar 27 minit atau kurang dalam keadaan yang sesuai.

Pengecasan AC 6.6kW melalui wallbox pula mengambil sekitar tiga jam atau kurang untuk 30% hingga 100%, manakala pengecas mudah alih AC 2.2kW mengambil kira-kira enam jam atau kurang.

Walaupun membawa teknologi PHEV, identiti T2 masih dikekalkan. Reka bentuknya kekal lasak dan berorientasikan pengembaraan, tetapi pada masa sama masih sesuai dipandu dalam suasana bandar.

Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuk lampu hadapan Auto LED dengan “JETOUR” Signature Wordlight, rim aloi Trailblazer 20-inci dan tayar ganti yang dipasang di bahagian belakang.

Bahagian kabin pula lebih moden dengan skrin multimedia 15.6 inci, paparan khusus untuk sistem hibrid dan sistem audio premium Sony dengan 12 pembesar suara.

Pengecasan tanpa wayar 50W turut disediakan, sementara tempat duduk hadapan menawarkan fungsi memori, Welcome Function dan pengudaraan.

Ada juga beberapa sentuhan yang menjadikan ruang kabin kelihatan lebih menarik seperti tombol gear kristal bercahaya dan pencahayaan ambien Cosmic Multicolour

SUV dengan rupa lasak biasanya membuatkan orang tertanya-tanya sama ada teknologi keselamatan dan bantuan pemandu turut diberi perhatian.

Untuk T2 i-DM, JETOUR melengkapkannya dengan ADAS Tahap 2. Antara cirinya ialah Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Assist Intervention (LAI), Blind Spot Detection (BSD), Integrated Cruise Assist (ICA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Intelligent High Beam (IHB).

Turut disediakan ialah enam beg udara SRS, struktur badan menggunakan keluli berketahanan tinggi, Panoramic View Monitoring System dan Tyre Pressure Monitoring System.

Gabungan ini menjadikan T2 i-DM bukan sekadar sebuah SUV yang mahu kelihatan lasak, tetapi turut memberi perhatian kepada aspek praktikal dan keselamatan untuk penggunaan seharian.

Harga RM162,800, dengan pakej awal yang menarik

Di Malaysia, JETOUR T2 i-DM ditawarkan pada harga RM162,800.

Bagi 2,000 pendaftaran terawal, pembeli boleh mendapatkan Pakej Early Bird bernilai sehingga RM3,000. Pilihannya ialah wallbox AC 7kW percuma termasuk pemasangan atau kredit pengecasan ChargeSini bernilai RM2,000.

Kedua-dua pilihan turut disertakan kabel penyesuai V2L percuma, tertakluk kepada terma dan syarat. Kadar faedah pula ditawarkan serendah 1.68%, juga tertakluk kepada terma dan syarat.

Dari segi pemilikan, JETOUR menawarkan waranti kenderaan selama tujuh tahun atau 150,000km, waranti bateri voltan tinggi lapan tahun atau 160,000km, serta waranti enjin 10 tahun atau 1,000,000km.

Lima sesi penyelenggaraan percuma turut disediakan.

Apa yang cuba dibawa JETOUR melalui T2 i-DM sebenarnya agak mudah difahami – sebuah SUV yang boleh digunakan untuk rutin harian tanpa membuatkan pemilik berasa terikat apabila tiba masa untuk keluar berjalan lebih jauh.

Pada hari bekerja, ia boleh berfungsi sebagai SUV PHEV dengan keupayaan pemanduan elektrik. Pada hujung minggu pula, jarak gabungan sehingga 1,200km, sistem pacuan hibrid, V2L dan reka bentuk lasak memberikan lebih banyak ruang untuk pemilik meneroka.

Dengan pendekatan ini, T2 i-DM menjadi sebahagian daripada usaha JETOUR untuk membawa falsafah “Travel+” ke dalam kehidupan seharian – bukan sekadar bergerak dari satu tempat ke tempat lain, tetapi menjadikan perjalanan itu sendiri sebahagian daripada pengalaman.

Untuk maklumat lanjut mengenai JETOUR T2 i-DM dan rangkaian SUV JETOUR di Malaysia, kunjungi laman rasmi JETOUR Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat