PETALING JAYA — ‘Macam kita ni dara sunti yang dipinang orang, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengulas mengenai beberapa pihak yang dilihat mula membuka ruang untuk menjalinkan kerjasama politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Perkembangan politik semasa yang dinamik memberi gambaran bahawa terdapat pihak tertentu yang sedang cuba mendekati Bersatu bagi membentuk kemungkinan penjajaran politik baharu.
Menurut beliau, keadaan itu turut memberi ruang kepada Bersatu untuk menilai pelbagai kemungkinan demi memastikan kelangsungan serta hala tuju parti pada masa akan datang.
“Tadi Setiausaha Agung dalam ucapan telah memberitahu, banyak orang sudah melambai. Melambai, mungkin hampir-hampir nak melamar.
“Macam kita ni dara sunti yang dipinang orang.
“Bersatu juga terbuka untuk merintis kerjasama dengan parti-parti lain yang menghormati prinsip-prinsip asas perjuangan Bersatu. Ini adalah syarat yang utama,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Bersatu di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, Bersatu perlu mempertimbangkan kerjasama dengan parti lain dan tidak wajar bergerak secara bersendirian dalam menghadapi PRU akan datang.
Beliau berkata, pandangan yang diterimanya daripada pelbagai pihak menunjukkan keperluan Bersatu berada dalam satu gabungan politik bagi memperkukuhkan kedudukan parti.
“Hampir semua yang memberikan pandangan kepada saya mengatakan bahawa Bersatu tidak boleh bergerak solo. Saya tanya tadi pun ramai yang kata tak boleh solo. Ramai nak berganding dan nak berkahwin.
“Kalau tanya saya, jawapannya ya. Saya juga tidak bersetuju dengan pandangan bahawa kita harus pergi solo. Kita mesti bergerak dalam sebuah gabungan politik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata sebarang bentuk kerjasama yang bakal dipertimbangkan Bersatu perlu berasaskan prinsip saling menghormati serta menghargai perjuangan parti.
Katanya, Bersatu tidak mahu menjadi sekadar rakan politik yang hanya diperlukan ketika berada dalam kerajaan, tetapi diketepikan apabila tidak lagi memegang kuasa.
“Cuma dalam menentukan rakan gabungan, ia mestilah rakan yang menghormati perjuangan kita. Yang menghargai sumbangan kita.
“Bukan menghargai waktu kita berada dalam kerajaan sahaja. Bila kita tidak berkuasa, mereka mengenepikan kita, mereka mengeji kita, mereka menghina kita,” katanya.
Muhyiddin turut memberitahu Bersatu telah membuka ruang perbincangan dengan beberapa pihak bagi meneroka kemungkinan kerjasama politik pada masa hadapan.
Antaranya, beliau memaklumkan rundingan awal bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menunjukkan perkembangan positif.
Bersatu turut menerima isyarat keterbukaan daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) yang dipimpin Datuk Ibrahim Ali, sekali gus menunjukkan ruang untuk pembentukan kerjasama politik baharu masih terbuka.


