Ada pihak mula hulur tangan, lempar senyuman kepada Bersatu – Azmin

PETALING JAYA — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini mula menerima isyarat daripada pelbagai pihak yang dilihat membuka ruang ke arah kerjasama politik baharu, susulan perkembangan semasa menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ‘ada pihak yang menghulur tangan dan melemparkan senyuman’ kepada parti itu, sekali gus menunjukkan terdapat pihak yang sedang mengambil pendekatan untuk mendekati Bersatu.

Menurut beliau, pendekatan yang diterima itu hadir dalam pelbagai bentuk termasuk usaha untuk membuka ruang komunikasi dengan kepimpinan Bersatu.

“Hari ini pelbagai pihak sedang menggamit-gamit kita, pelbagai pihak sedang mengintai-intai langkah Bersatu. Ada yang menghulur tangan saudara-saudari, ada yang menyampaikan salam kepada kita, ada yang melemparkan senyuman kepada Bersatu.

“Salam dan senyuman akan disambut dengan kebijaksanaan demi membela Malaysia yang menjamin kemakmuran untuk anak watan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Bersatu di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Azmin menegaskan bahawa pendekatan Bersatu yang lebih berhemah dalam menyampaikan pendirian politik sejak kebelakangan ini bukanlah gambaran kelemahan, sebaliknya mencerminkan kematangan parti dalam menghadapi perkembangan semasa.

“Diam tidak bererti kita lemah, sunyi tidak bererti kita mengalah. Kita muda dan segar dengan idea dan pemikiran zaman,” katanya.

Sempena ulang tahun ke-10 penubuhan Bersatu, Azmin berkata perjalanan parti itu sepanjang sedekad lalu telah melalui pelbagai cabaran dan pengalaman yang membentuk kematangan Bersatu dalam arena politik negara.

Beliau turut mengaitkan perkembangan terbaharu parti itu dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang baru-baru ini melepaskan dan membebaskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan.

Katanya, keputusan tersebut memberi suntikan keyakinan kepada kepimpinan Bersatu untuk meneruskan usaha politik parti itu pada masa akan datang.

“Hari ini, insan yang memimpin Bersatu bangkit dengan keyakinan baharu, tenaga baharu, keberanian baharu untuk memimpin masa depan Malaysia yang lebih gagah, perkasa, dan bermaruah.

“Masa Bersatu akan tiba, kita akan tiba di gerbang jaya, Putrajaya insya-Allah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat