KUALA LUMPUR – Susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan untuk memberikan pengampunan yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah, bekas Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Dr Ong Kian Ming menyarankan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim wakil UMNO dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.
Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata DAP perlu memberikan amaran terakhir kepada Anwar untuk melaksanakan tujuan itu.
“Langkah sedemikian akan menunjukkan kesungguhan Pakatan Harapan (PH) dalam membantah pendirian UMNO yang berusaha mendapatkan pengampunan Najib serta mengumpul derma daripada orang ramai bagi membayar denda RM50 juta itu,” katanya.
Menurut beliau, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka telah mencabar Perdana Menteri untuk membuang ahli-ahli kabinet daripada UMNO sejak beberapa bulan lepas.
Bagi beliau, ini adalah peluang terbaik untuk Anwar menyahut cabaran tersebut.
“Tanpa sokongan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), sekiranya langkah ini menyebabkan BN menarik sokonganm daripada kerajaan, kerajaan masih berkemampuan untuk meluluskan Bajet 2027 pada sidang Parlimen hujung tahun ini kerana kerajaan perpaduan masih mempunyai majoriti yang tipis di Dewan Rakyat,” katanya.
Menurutnya, Anwar perlu segera melantik pengganti bagi tujuh jawatan menteri yang dipegang oleh UMNO dan memastikan mereka bersedia secepat mungkin supaya dapat membentang serta membahaskan bajet bagi kementerian masing-masing.
Ong berkata memberikan amaran terakhir kepada Perdana Menteri lebih masuk akal bagi DAP berbanding mengumumkan bahawa ahli-ahlinya akan meletak jawatan daripada kerajaan akibat keputusan tahanan rumah Najib ini.
“Adalah tidak wajar untuk menyalahkan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, yang merupakan ahli Lembaga Pengampunan, kerana beliau hanya melaksanakan keputusan yang merupakan hak prerogatif Seri Paduka Baginda mengikut Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Beliau berkata jika ada sesiapa perlu meletak jawatan serta-merta, mungkin ia adalah Nga Kor Ming yang pernah menyatakan dalam satu temu bual sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai menteri sekiranya BN menang besar di Johor dan sekiranya Najib dibebaskan.
Beliau berkata Amaran terakhir kepada Anwar ini perlu disertakan dengan ancaman yang kukuh.
“Jika tidak, Anwar akan menganggapnya sekadar kenyataan biasa daripada DAP tanpa disokong oleh sebarang tindakan nyata.
“DAP perlu menyatakan bahawa ahli-ahlinya akan meletak jawatan daripada kabinet sebelum mesyuarat Kabinet pada minggu hadapan sekiranya Anwar tidak memecah ahli-ahli UMNO daripada kabinet,” katanya.
Ong Kian Ming sudah pun mengumumkan keluar dari DAP pada 31 Ogos lepas dan mengumumkan akan membantu kempen Khairy Jamaluddin sekiranya beliau bertanding pada pilihan raya umum akan datang.



