ALOR SETAR – UMNO Kedah mengingatkan semua pihak supaya tidak mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung perkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan berkenaan tidak seharusnya dijadikan polemik kerana dibuat mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang negara.
“Pertama sekali, UMNO Kedah dengan penuh takzim merafak sembah menjunjung kasih dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas limpah ihsan, kebijaksanaan serta budi bicara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas perkenan Tuanku memutuskan perkara besar berkaitan Datuk Seri Najib.
“Keputusan yang diperkenankan oleh Tuanku itu kami terima dengan penuh rasa syukur, rendah hati dan penghormatan yang tidak berbelah bahagi terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong serta sistem Perlembagaan dan undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahdzir berkata, tidak seharusnya ada pihak yang cuba memainkan sentimen dengan mengeluarkan kenyataan yang menidakkan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sedangkan keputusan itu dibuat melalui saluran undang-undang.
Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong telah melaksanakan kuasa Baginda berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara tersebut perlu diterima secara berlapang dada oleh semua pihak dan seluruh lapisan rakyat kerana Baginda mempunyai hak dan kuasa yang jelas sebagaimana dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jangan kerana pihak yang menerima keistimewaan itu bukan daripada pihak kita, kita terus menolak dan mempertikaikan keputusan tersebut, tetapi menyokongnya tanpa sebarang pertikaian apabila melibatkan pihak yang kita sokong,” katanya.
Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak membangkitkan persoalan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat mengenai kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya menyeru supaya perkara tersebut tidak dimanipulasi untuk meraih populariti atau sokongan dalam bentuk undi pada mana-mana pilihan raya akan datang.
“Jangan juga keputusan ini dijadikan modal untuk berkempen sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Mahdzir mendoakan agar Najib diberikan kekuatan, kesabaran dan dipermudahkan segala urusan ketika menjalani baki hukumannya berdasarkan ketetapan yang diperkenankan.
Beliau turut menyeru seluruh ahli UMNO supaya menerima perkembangan itu dengan penuh kesyukuran serta tidak melampaui batas dalam setiap ungkapan dan tindakan.
“Segala doa dan harapan kita selama ini telah dimakbulkan dan kita berharap ia akan memberikan sinar baharu kepada perjuangan seluruh ahli UMNO,” katanya.
Mahdzir berkata, UMNO Kedah juga akan melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak di semua bahagian UMNO di negeri itu.
Menurutnya, tabung tersebut diwujudkan sebagai tanda sokongan kepada bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri itu untuk melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.


