SEREMBAN – Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim didakwa melanggar tatatertib penjawat awam dan melampaui bidang kuasanya apabila enggan mewartakan Proklamasi penurunan takhta serta pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Peguam kepada Yamtuan Ke-12, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Emirul Sarifudin Nor Azmi mendakwa tindakan Mohd Zafir itu turut mengingkari keputusan sebulat suara Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 15 September lalu.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan memutuskan untuk menerima dan melaksanakan Proklamasi Perkara 10 dan 11 oleh Undang Yang Empat bertarikh 19 April 2026 yang ditandatangani Menteri Besar pada 3 Ogos lalu.
MMKN juga, katanya, telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri supaya mewartakan proklamasi tersebut.
Bagaimanapun, Mohd Zafir pada 17 September didakwa mengeluarkan kenyataan awam yang menyatakan pendirian untuk tidak mewartakannya.
“Tindakan ini merupakan salah laku,” kata Emirul dalam kenyataan bertajuk “Keingkaran YB Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan melaksanakan Proklamasi penurunan takhta dan pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan”.
Menurut Emirul, keingkaran terhadap arahan dan keputusan MMKN yang dipengerusikan Menteri Besar didakwa bertentangan dengan Peraturan 4(2)(i) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].
Beliau turut mempersoalkan sama ada kenyataan awam pada 17 September itu dikeluarkan dengan kebenaran bertulis Menteri Besar atau MMKN.
Katanya, sekiranya kenyataan itu dibuat tanpa persetujuan bertulis berkenaan, tindakan tersebut didakwa turut melanggar Peraturan 19(1) dan 19(2) peraturan yang sama.
Emirul seterusnya mendakwa Mohd Zafir bertindak melampaui bidang kuasa atau ultra vires kerana Setiausaha Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menentang keputusan Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) dan keputusan MMKN.
Menurutnya, Setiausaha Kerajaan Negeri juga tidak boleh menerima arahan daripada pihak luar, termasuk Penasihat Undang-Undang Negeri atau Jabatan Peguam Negara, sekiranya ia bertentangan dengan UUTKNS serta keputusan pihak berkuasa negeri.
“Tindakan YB SUK menentang keabsahan Proklamasi tersebut secara langsung telah menderhaka kepada Raja Pemerintah yang sah menurut UUTKNS dan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan,” dakwanya.
Sehubungan itu, Emirul menggesa MMKN meminta Ketua Setiausaha Negara memulakan prosedur tatatertib terhadap Mohd Zafir mengikut peraturan yang berkaitan.
Beliau turut menggesa Mohd Zafir dipindahkan serta-merta daripada jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Emirul menegaskan Proklamasi Perkara 10 dan 11 UUTKNS 1959 telah sempurna dari aspek pentadbiran dan perlu dikuatkuasakan tanpa berlengah selepas ditandatangani Menteri Besar pada 3 Ogos lalu.
Menurutnya, pewartaan bukan syarat yang menentukan keabsahan atau penguatkuasaan proklamasi berkenaan.
“Tindakan YB SUK, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan dan/atau Jabatan Peguam Negara yang meletakkan pewartaan sebagai syarat berkuat kuasanya Proklamasi, tanpa ada keperluan sedemikian dalam UUTKNS, boleh disifatkan sebagai usaha untuk memindahkan dan merampas kuasa kedaulatan YTM Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959 kepada mereka,” katanya.
Emirul berkata, pandangan mana-mana agensi kerajaan Persekutuan, termasuk Jabatan Peguam Negara, hanyalah pendapat dan bukannya perintah yang mengikat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa keputusan eksekutif MMKN yang mengikat Setiausaha Kerajaan Negeri.


