Umum semua syarat tahanan rumah Najib kepada rakyat – BERSATU

KUALA LUMPUR – BERSATU mendesak kerajaan mendedahkan secara terperinci semua syarat pengampunan bersyarat yang dikenakan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak, termasuk pelaksanaan baki hukuman secara tahanan di rumah.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ketelusan itu penting bagi mengelakkan keresahan dan kemarahan rakyat yang boleh menjejaskan integriti badan kehakiman serta keyakinan terhadap sistem perundangan negara.

Menurut beliau, kerajaan juga wajar menjelaskan kerangka undang-undang, tatacara dan kriteria yang akan digunakan bagi melaksanakan tahanan di rumah.

“Kerajaan wajar menjelaskan kerangka undang-undang, tatacara dan kriteria yang akan digunakan bagi pelaksanaan tahanan di rumah, termasuk sama ada keistimewaan yang sama boleh dipertimbangkan secara adil kepada banduan lain yang memenuhi kriteria ditetapkan.

“Penjelasan ini penting supaya tidak timbul persepsi bahawa terdapat satu bentuk layanan bagi golongan bangsawan dan berpengaruh serta satu lagi bagi rakyat biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmin berkata, BERSATU memahami kemusykilan yang timbul dalam kalangan rakyat berhubung prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang.

Katanya, rakyat berhak memperoleh keyakinan bahawa kedudukan, pengaruh atau latar belakang seseorang tidak mewujudkan piawaian pelaksanaan hukuman yang berbeza daripada rakyat biasa.

Pada masa sama, beliau menegaskan BERSATU menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan, menunda atau meringankan hukuman terhadap banduan yang memohon melalui proses undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, penghormatan terhadap kuasa berkenaan tidak mengubah pendirian BERSATU dalam perjuangan menentang kleptokrasi, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“BERSATU menegaskan bahawa khazanah negara bukan ladang jarahan. Mereka yang didapati bersalah oleh sistem kehakiman hendaklah dihukum mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan negara.

“Kami sentiasa berpegang kepada prinsip negara hukum, menegakkan keadilan dan memastikan hukuman yang dijatuhkan kepada seseorang adalah saksama tanpa membezakan darjat dan pangkat,” katanya. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat