Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Program Santai Seni Merdeka sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2026 anjuran Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) dengan kerjasama Jabatan kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah dan Menara Alor Setar berjaya menarik perhatian peminat seni dan orang ramai di Star Grand Hall, Menara Alor, dekat sini baru-baru ini.
Setiausaha PENTAS, Mohd Zulkamal Ismail (Joe K.A.S) berkata, penganjuran Santai Seni Merdeka merupakan platform menyemai semangat cintakan negara serta menghayati kemerdekaan dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata, program ini melibatkan pelajar sekolah, IPT dan aktivitis sastera dan budaya telah menyemarakkan Bulan Kebangsaan dengan penuh makna.
Katanya, program seumpama ini juga dapat melahirkan generasi Malaysia yang menghayati nilai dan semangat patriotik, berilmu pengetahuan, memiliki jiwa, peribadi yang unggul dan terus wujud dalam diri mereka.
“Di samping itu, sebagai inspirasi kepada anak muda dalam memahami perjuangan orang-orang terdahulu mendapatkan kemerdekaan negara.
“Kemerdekaan memerlukan pengorbanan tenaga, darah, dan nyawa daripada perajurit serta pemimpin terdahulu. Generasi hari ini perlu menghargai jasa tokoh dan meneruskan usaha menjaga keamanan negara.
“Tanpa pengorbanan mereka, nikmat kemerdekaan dan keamanan sukar dirasai. Kita hendak memastikan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda dapat terus disuburkan dan semangat kebangsaan serta cintakan tanah air tidak boleh sesekali diabaikan dalam apa-apa jua keadaan.
“Insya-Allah program seperti ini akan diteruskan oleh PENTAS pada masa hadapan bukan sahaja dapat memupuk semangat cintakan negara, malah menyatukan masyarakat dan meningkatkan kesedaran tentang sejarah serta nilai patriotisme,”katanya lagi.
Dalam pada itu, pelbagai pengisian menarik telah berlangsung dari pukul 8.30 sehingga 10.30 malam antaranya, nyanyian, deklamasi puisi, teater, silat dan tarian. – SUARA.TV


