MELAKA, 19 September – Projek Wi-Fi Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang meliputi 539 lokasi di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir bulan ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Menurutnya, setakat ini 294 lokasi atau 55 peratus sudah mempunyai akses Wi-Fi menerusi projek bernilai RM664 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
Projek itu bertujuan menaik taraf infrastruktur dan meningkatkan liputan internet di kampus, termasuk dengan pemasangan puluhan ribu titik akses (AP) menggunakan teknologi Wi-Fi 6 atau Wi-Fi 7.
“Projek ini memberi tumpuan kepada lokasi strategik di kampus, termasuk dewan kuliah, makmal, perpustakaan, pusat pelajar, kolej kediaman dan asrama,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Projek Wi-Fi IPTA Fasa 3 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), hari ini, menurut Bernama.
Teo berkata projek berkenaan turut melibatkan institusi latihan kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Katanya, Fasa 1 dan Fasa 2 telah siap di 191 lokasi, manakala pelaksanaan Fasa 3 sedang dijalankan.
“Bagi Fasa 3, kerja telah siap di 42 daripada 204 lokasi, atau 21 peratus. Lokasi selebihnya masih dalam proses penyediaan rangkaian dan pemasangan,” katanya.
Beliau berkata kerja di institusi bawah MARA pula siap di 60 daripada 110 lokasi yang dikenal pasti, manakala satu daripada 34 lokasi bawah KESUMA telah siap.
Di Melaka, projek itu mencapai kemajuan 44 peratus dengan 1,399 AP baharu diaktifkan di 10 IPTA setakat Ogos lalu.
Menurut Teo, sebanyak 302 AP tambahan di UTeM siap dipasang pada 27 Ogos, lebih awal daripada sasaran asal MCMC pada 23 September. Ini menjadikan jumlah AP yang beroperasi di universiti itu sebanyak 410, termasuk 108 yang dipasang pada Jun 2025 di bawah Fasa 2.
Sementara itu, wakil pelajar UTeM, Muhammad Quwayyis Khairuddin, 21, berkata penambahan AP berkelajuan tinggi penting kepada pelajar, khususnya penghuni kolej kediaman yang memerlukan capaian internet stabil untuk menyiapkan projek dan tugasan.
“Walaupun perkhidmatan internet sebelum ini sudah baik, penambahan AP ini meningkatkan lagi sambungan internet di seluruh kampus,” katanya.


