SEREMBAN – Tindakan Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) tidak semestinya memerlukan siasatan formal seperti sebuah suruhanjaya siasatan, menurut analisis Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.
Beliau berhujah bahawa perkataan ‘enquiry’ dalam peruntukan itu perlu dibaca bersama kuasa adat Undang Yang Empat serta syarat kuorum yang ditetapkan oleh UUTKNS, bukannya ditafsir secara terpisah sebagai kewajipan mengadakan prosiding siasatan moden.
“Dengan kata lain, ‘enquiry’ Perkara 10 adalah pelaksanaan sebuah prerogatif adat yang luas dan berbudi bicara, bukan satu proses siasatan formal yang ketat,” katanya dalam artikel bertajuk “Memahami “Enquiry” dalam Perkara 10 UUTKNS 1959 dari aspek Jurisprudens Watan”.
Analisis itu memberi sokongan kepada pendirian bahawa proses Undang Yang Empat boleh dinilai berdasarkan musyawarah dan struktur adat Negeri Sembilan, ketika keabsahan tindakan mereka berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar terus dipertikaikan.
Wan Ahmad Fauzi menjelaskan bahawa Perkara 10(1) membolehkan Undang memanggil Yang di-Pertuan Besar berundur atau turun takhta setelah perkara itu dipertimbang dan diputuskan melalui “full and complete enquiry by the Undangs”.
Menurut beliau, proses tersebut tetap perlu berasaskan maklumat yang betul dan dibuat secara kolektif. Perkara 29, katanya, menetapkan kuorum sekurang-kurangnya tiga daripada empat Undang, atau sebanyak jumlah Undang yang masih hidup pada masa berkenaan.
“Ini bermakna ‘enquiry’ bukan satu proses bicara yang rasmi, tetapi ia tetap perlu didasarkan pada maklumat yang betul, dan disyaratkan sebagai satu proses kolektif yang tertakluk kepada kuorum tertentu mengikut Perkara 29 — bukan tindakan seorang Undang secara individu,” tulisnya.
Beliau turut merujuk Perkara 32, yang menurutnya mengekalkan pemakaian perlembagaan dan adat resam purba negeri selagi tidak bercanggah dengan peruntukan berkaitan, serta Perkara 79 mengenai prerogatif Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar-Pembesar Memerintah.
Bagi menyokong tafsirannya, Wan Ahmad Fauzi menelusuri perjanjian pembentukan Negeri Sembilan pada 1889, 1895 dan 1898. Beliau berhujah bahawa sejarah itu menunjukkan hubungan kuasa yang dikongsi antara institusi Yang di-Pertuan Besar dengan Undang Yang Empat.
Katanya, penggunaan istilah enquiry juga dapat dikesan dalam memorandum Gabenor Frederick Weld bertarikh 23 Disember 1885 yang menyentuh penyelesaian pertikaian melalui perundingan dengan pihak berkaitan.
“Justeru, sebarang penilaian mengenai kesahihan tindakan di bawah Perkara 10 perlu memenuhi kuorum yang ditetapkan, dan sama ada ia mematuhi watak musyawarah adat yang menjadi asas kepada seluruh struktur kedaulatan Negeri Sembilan sejak 1889,” katanya.-SUARA.TV


