MELAKA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memantau kandungan media sosial sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang bagi memastikan pengguna tidak menyentuh isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pemantauan itu ialah sebahagian daripada fungsi MCMC sebagai pengawal selia sektor komunikasi dan multimedia, selain bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain sekiranya terdapat keperluan.
“MCMC sebagai pengawal selia akan selalu pantau kandungan di media sosial. Pesanan kami kepada semua pengguna, jangan sentuh isu 3R.
“Semua pihak berhak untuk berkempen, tetapi lakukanlah secara demokratik dan tidak menyentuh isu sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Projek WIFI IPTA Fasa 3 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.
Beliau berkata MCMC mempunyai pasukan sedia ada yang memantau kandungan media sosial sepanjang tempoh berkempen.
“Pada masa sama, kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain untuk melakukan pemantauan,” katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dan mandat kerajaan negeri ketika ini akan berakhir pada 31 Disember ini.
— BERNAMA



