Zahid arah Umno lancar kutipan tabung bantu Najib bayar denda RM50 juta

KUALA LUMPUR – Umno mengambil inisiatif untuk melancarkan kutipan Tabung Sumbangan bagi membantu meringankan beban Datuk Seri Najib Razak dalam melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru, seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mereka yang ingin bersama-sama memberikan sokongan agar menyumbang secara sukarela melalui satu inisiatif yang akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

“Dengan penuh takzim, saya bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli Umno merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Umno menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku serta menzahirkan setulus-tulus penghargaan atas limpah ihsan baginda.

“Umno menyambut dengan penuh kesyukuran keputusan yang membolehkan Datuk Sri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah,” ujar Zahid dalam kenyataan media pada Jumaat.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, perkembangan ini amat bermakna buat beliau dan keluarga, serta seluruh keluarga Umno yang selama ini tidak putus menaruh harapan dan menitipkan doa.

Jelas Zahid, pendirian Umno sejak awal adalah untuk membawa permohonan ini dengan penuh tertib dan rendah hati, melalui saluran yang ditetapkan.

“Penghormatan kepada institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang akan terus menjadi pegangan kita.

“Dengan segala kerendahan hati, Umno menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas perkembangan ini. Limpah ihsan Tuanku membawa kelegaan yang amat besar buat Dato’ Sri Najib dan keluarga serta akan sentiasa dikenang dengan penuh penghargaan oleh seluruh keluarga Umno.

“Saya menyeru seluruh ahli Umno agar menyambut perkembangan ini dengan rasa syukur, menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan.

“Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesejahteraan kepada Tuanku serta memelihara keamanan dan keharmonian negara.
Daulat Tuanku,” ucap Zahid.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat