KUALA LUMPUR: Bagi mereka yang sedang membina perniagaan, mengembangkan jenama atau sekadar mahu mencari ilham baru dalam dunia keusahawanan, Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) 2026 mungkin menjadi antara acara yang sesuai untuk dikunjungi apabila ia membuka tirai buat pertama kalinya di Pulau Pinang pada 26 dan 27 September ini.
Bertempat di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, acara selama dua hari itu bukan sekadar menghimpunkan peniaga di bawah satu bumbung, sebaliknya menyediakan ruang untuk pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan, persatuan industri serta pemain perniagaan daripada pelbagai sektor bertemu, bertukar pengalaman dan membuka peluang kerjasama yang mungkin sebelum ini hanya bermula dengan satu perbualan ringkas.
Dianjurkan oleh Monie, sebuah jenama di bawah Foodie Media Berhad, bersama Spire Digital serta dengan kerjasama Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), KHPM 2026 membawa pendekatan yang lebih terbuka dengan menggabungkan perkongsian ilmu, perbincangan industri, sesi pitching, networking, bengkel dan hiburan dalam satu program yang menyasarkan bukan sahaja komuniti perniagaan tetapi juga orang ramai.
Menariknya, pentas KHPM 2026 akan menjadi tempat pertemuan antara usahawan dengan wakil agensi dan persatuan yang memainkan peranan dalam pembangunan perniagaan di Malaysia, termasuk INSKEN, IKMa, TEKUN Nasional, SME Bank, AIM, SKM, Bank Rakyat, BPHV, UDA Holdings, SME Corp. Malaysia, BDHA dan BPES, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan pandangan lebih dekat mengenai pelbagai aspek yang berkaitan dengan perjalanan sesebuah perniagaan.
Sepanjang dua hari berlangsung, pengunjung boleh mengikuti perbincangan panel selama 45 minit bersama wakil persatuan dan pakar industri, selain sesi perkongsian individu selama 30 minit yang menampilkan usahawan daripada pelbagai latar sektor. Perbincangan yang diketengahkan pula merangkumi bidang yang cukup dekat dengan kehidupan seharian dan perkembangan ekonomi semasa seperti makanan dan minuman (F&B), perniagaan digital, kecantikan serta teknologi.
Menjelang waktu petang, suasana acara dijangka menjadi lebih santai menerusi sesi fireside bersama pengasas syarikat sebelum pentas diteruskan dengan konsert penutup, manakala sepanjang karnival berlangsung, pelbagai aktiviti termasuk cabutan bertuah, majlis perasmian dan sesi lawatan sekitar acara turut melengkapkan pengalaman pengunjung.

Dengan semua sesi disampaikan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, KHPM 2026 turut membuka ruang yang lebih luas untuk peserta daripada pelbagai latar belakang mengikuti perkongsian dan perbincangan yang disediakan.
Dalam suasana dunia perniagaan yang semakin berubah, ruang untuk bertemu, mendengar pengalaman orang lain dan berkongsi cerita tentang jatuh bangun membina sesuatu daripada kosong sememangnya mempunyai nilai tersendiri. Ada yang mungkin hadir dengan sebuah idea, ada yang datang mencari pelanggan atau rakan niaga, manakala tidak kurang juga yang mungkin sekadar mahu melihat bagaimana orang lain mengembangkan perniagaan mereka.
Itulah yang cuba dibawa KHPM 2026 apabila edisi sulungnya di Pulau Pinang menghimpunkan usahawan, PKS dan komuniti industri dalam sebuah acara yang menggabungkan ilmu, peluang dan suasana santai, menjadikan Stadium Batu Kawan bukan sekadar lokasi berlangsungnya karnival, tetapi ruang untuk komuniti perniagaan Malaysia bertemu dan berkembang bersama.
Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) 2026 akan berlangsung pada 26 dan 27 September 2026 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, dengan penganjuran oleh Monie bersama Spire Digital serta kerjasama KUSKOP.


