“Persoalan pengampunan Najib, apa berlaku, kenapa ditangguh, tarikh baharu semua kena tanya Hannah Yeoh” – Azalina

KUALA LUMPUR – Sebarang penjelasan dan persoalan berhubung penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, harus dirujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau bukan menteri yang bertanggungjawab terhadap Lembaga Pengampunan, sebaliknya Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) yang berada bawah kementeriannya hanya berperanan sebagai sekretariat.

“Saya sebenarnya dapat maklumat pun daripada kenyataan dikeluarkan oleh BHEUU. Saya bukan menteri bertanggungjawab.

“Walaupun BHEUU bawah saya, isu Lembaga Pengampunan tiap-tiap negeri, BHEUU adalah sekretariat tetapi menteri dan menteri besar negeri berkenaan adalah wakil eksekutif dalam Lembaga Pengampunan,” katanya memetik laporan Harian Metro pada Selasa.

Semalam, Pas meminta kerajaan memberi penjelasan mengenai penangguhan permohonan pengampunan Najib.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu membabitkan kepentingan awam dan wajar diberikan penjelasan segera.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, sebarang persoalan berhubung sebab penangguhan permohonan itu serta tarikh baharunya, perlu ditujukan kepada menteri yang bertanggungjawab.

“Apa-apa soalan, apa berlaku, kenapa ditangguh, tarikh baharu… semua kena tanya menteri bertanggungjawab, YB Hannah Yeoh.

“Saya tidak ambil maklum langsung. Jadi, saya tidak dapat jawab,” katanya.

Jumaat lalu, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

BHEUU Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat