KUALA LUMPUR – Adun Batu Burok Muhammad Khalil Abdul Hadi mempersoalkan strategi sekali gus keikhlasan Umno yang mencadangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu.
Menurut anak Presiden Pas itu, untuk membentuk Kerajaan Negeri Terengganu sesebuah parti perlu memenangkan 17 kerusi.
Justeru Khalil mempersoalkan bagaimana Umno mahu memenangkan 17 kerusi DUN Terengganu itu, adakah perlu merebutnya dengan Pas?
“Kata yakin boleh ambil Terengganu memang senang.
“Tapi nak jadi kerajaan kena cukup 17 kerusi. Jadi orang nak tahu juga, 17 kerusi tu nak datang dari mana? Lawan Pas ke? Ikhlas ke macam tu? soal Khalil.
Jelas beliau lagi, kalau di Johor dan Negeri Sembilan, Pas boleh bagi ruang pada Umno, kenapa bila sampai Terengganu cerita jadi lain?
“Kalau betul nak kerjasama, logiknya sama-sama kena hormat kawasan yang masing-masing kuat.
“Nak buat PRN ni sebab apa sebenarnya?
“Kerajaan masih ada majoriti, DUN tak kacau, pentadbiran jalan macam biasa. Jadi kenapa nak bubar awal?
“PRN ni bukan benda kecil. Orang luar Terengganu kena balik mengundi, kena ambil cuti, keluar duit minyak, tol, tiket. Lepas tu kalau PRU pula tak lama lagi, kena balik sekali lagi.
“Kalau dah nak sangat pilihan raya, buat sekali terus tak boleh ke? Tak payah rakyat ulang-alik dua kali. Sekali mengundi, sekali keluar kos, selesai,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan mencabar Pas membuktikan keikhlasan dalam usaha penyatuan ummah dengan menguji formula kerjasama politik bersama Umno di salah sebuah negeri kumpulan SG4, Terengganu.
Mohamad berkata, persefahaman antara kedua-dua parti tidak boleh berlaku secara satu pihak sahaja.
Beliau turut mencadangkan supaya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, salah sebuah negeri SG4 mengadakan pilihan raya bagi melihat sejauh mana keikhlasan dalam menjayakan persefahaman berkenaan.
“Persefahaman-persefahaman ini, tetapi persefahaman jangan kita sepihak sahaja. Kita sahaja nak persefahaman, dia mengambil untung sahaja.
“Saya nak cadangkanlah Datuk Seri Presiden, supaya lepas Melaka besok, kita cuba pula sejauh manakah keikhlasan kawan kita.
“Kita minta salah satu daripada negeri SG4 tersebut buat pilihan raya. Kau buat pilihan raya, aku nak tengok apa formula kau pakai. Buat di Terengganu,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 baru-baru ini.



