KUALA LUMPUR – Ada kepuasan tersendiri apabila kita menemui sesuatu yang tidak pernah dirancang untuk dibeli, tetapi tiba-tiba terasa begitu sesuai untuk dibawa pulang, apatah lagi apabila barang itu mempunyai cerita, karakter dan nilai tersendiri yang mungkin tidak lagi dilihat oleh pemilik asalnya.
Daripada pakaian yang masih elok, barangan rumah yang sudah lama tersimpan, keperluan kanak-kanak, produk jenama tempatan hinggalah makanan yang boleh dinikmati sambil bersantai, semuanya bakal bertemu dalam suasana yang lebih santai menerusi BEKAS @ Plate District, sebuah bazaar komuniti yang membawa tema “Barang Lama, Cinta Baru”.
Berlangsung pada 15 September 2026 dari jam 6 petang hingga 3 pagi di Plate District, 2816 Jalan Damansara, Kuala Lumpur, acara ini tampil dengan pendekatan yang cukup dekat dengan kehidupan seharian, iaitu mengajak orang ramai melihat semula barang-barang yang mungkin dianggap biasa, tetapi sebenarnya masih mempunyai peluang untuk menemui pemilik baru.
BEKAS bukan sekadar tempat untuk menjual dan membeli barangan terpakai, sebaliknya ia mahu mewujudkan satu pengalaman di mana pengunjung boleh datang tanpa terlalu banyak perancangan, berjalan dari satu gerai ke satu gerai, menyelongkar pelbagai pilihan, berhenti menikmati makanan dan mungkin pulang dengan sesuatu yang pada awalnya langsung tidak terlintas dalam fikiran.
Konsep seperti inilah yang menjadikan bazaar sebegini menarik kerana ada unsur kejutan pada setiap kunjungan. Kita tidak pernah benar-benar tahu apa yang bakal ditemui dan dalam timbunan barang yang kelihatan sederhana, mungkin ada satu benda yang terus membuatkan kita berkata, “Ini memang aku cari.”
Idea tersebut turut mendapat tempat di hati personaliti dan pengacara Fiza Frizzy, yang bersama suaminya, Fazli Zulkifli, terlibat dalam pengurusan Plate District serta usaha memperkenalkan lokasi berkenaan sebagai ruang yang lebih terbuka kepada pelbagai aktiviti, acara dan komuniti.
Bagi Fiza, BEKAS lahir daripada pandangan yang cukup mudah, iaitu tidak semua barang yang sudah tidak digunakan oleh seseorang perlu berakhir di tempat pembuangan kerana apa yang tidak lagi mempunyai fungsi untuk kita mungkin sebenarnya masih dicari oleh orang lain.
“Saya suka idea bahawa barang yang sudah tidak lagi digunakan oleh seseorang masih boleh menjadi ‘beautiful find’ untuk orang lain. Kadang-kadang kita sendiri tidak sangka barang yang kita rasa sudah tidak diperlukan sebenarnya masih mempunyai nilai dan boleh digunakan oleh orang lain.

“Sebab itu saya rasa konsep BEKAS ini menarik kerana kita bukan sahaja datang untuk membeli barang, tetapi kita datang dengan rasa ingin tahu, melihat apa yang ada dan mungkin menemukan sesuatu yang kita suka dalam proses itu.
“Dalam masa sama, kami mahu orang ramai datang dengan santai, menikmati suasana, makan, berjalan-jalan dan berjumpa dengan vendor serta jenama tempatan. Kalau dapat membawa pulang sesuatu yang menarik, itu menjadi bonus,” katanya.
Apa yang menarik, pemilihan waktu dari 6 petang hingga 3 pagi memberikan BEKAS suasana yang berbeza daripada bazaar yang biasanya berlangsung pada siang hari. Selepas selesai bekerja, pengunjung boleh terus datang bersama keluarga atau rakan-rakan, menikmati malam dengan lebih santai dan meluangkan masa tanpa perlu tergesa-gesa mengejar waktu.
Lebih istimewa, acara ini berlangsung pada malam menjelang Hari Malaysia, sekali gus menjadikan 15 September sebagai ruang yang sesuai untuk orang ramai memulakan sambutan cuti umum dengan cara yang lebih santai, sama ada sekadar mahu mencari barang menarik, menikmati makanan atau bertemu komuniti dalam suasana yang tidak terlalu formal.

Dalam masa sama, penglibatan vendor dan usahawan lokal memberikan satu lagi lapisan kepada acara ini kerana BEKAS turut menjadi ruang untuk perniagaan kecil dan jenama tempatan bertemu pelanggan secara lebih dekat. Di sebalik setiap meja jualan, ada pemilik perniagaan yang membawa produk, cerita dan usaha mereka sendiri untuk diperkenalkan kepada orang ramai.
Bagi Plate District pula, penganjuran BEKAS menjadi sebahagian daripada usaha untuk menjadikan lokasi tersebut bukan sekadar sebuah tempat, tetapi ruang yang boleh dihidupkan dengan pelbagai aktiviti yang dekat dengan kehidupan masyarakat, termasuk acara persendirian, program komuniti dan acara in-house yang dianjurkan pihak pengurusan.
Mungkin itulah semangat sebenar BEKAS memberikan peluang kedua kepada barang, peluang baharu kepada usahawan lokal dan pada masa yang sama menyediakan satu ruang untuk orang ramai bertemu, berbual, makan dan bersantai.
Kerana kadang-kadang, barang yang paling menarik bukanlah barang yang baru keluar dari kotak, tetapi barang yang mempunyai sedikit cerita di belakangnya dan menunggu untuk memulakan cerita baharu bersama pemilik seterusnya.
Dengan tema “Barang Lama, Cinta Baharu”, BEKAS @ Plate District mengajak orang ramai datang dan melihat sendiri apa yang mungkin tersembunyi di sebalik barangan lama, sambil menikmati malam menjelang Hari Malaysia dalam suasana santai yang meraikan komuniti, kreativiti dan sokongan terhadap usahawan tempatan.
Maklumat lanjut mengenai BEKAS @ Plate District serta acara-acara akan datang boleh didapati menerusi saluran media sosial rasmi Plate District.



