KUALA LUMPUR – Semua menteri mungkin berdepan pertuduhan jenayah apabila institusi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan mereka mengalami kerugian, sekiranya kerugian pelaburan sahaja boleh dijadikan asas mendakwa seseorang di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Setiausaha Penerangan UMNO, Dato’ Suraya Yaacob membangkitkan kebimbangan itu susulan pertuduhan terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkaitan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurutnya, pertuduhan tersebut menimbulkan persoalan undang-undang yang jauh lebih besar daripada individu bernama Jamil Khir.
“Adakah seorang menteri boleh dianggap melakukan penyelewengan jenayah hanya kerana beliau memberikan kelulusan kepada suatu pelaburan kerajaan yang kemudiannya mengalami kerugian?
“Kalau jawapannya ya, duluan ini sangat berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suraya berkata, keputusan pelaburan TH bukan dibuat oleh seorang menteri secara bersendirian.
Sebaliknya, sesuatu cadangan terlebih dahulu melalui pengurusan, penilaian profesional, jawatankuasa pelaburan, Panel Pelaburan dan Lembaga TH sebelum dikemukakan kepada menteri sebagai pihak yang memberikan kelulusan sebagaimana diperuntukkan undang-undang.
Justeru, katanya, pihak pendakwaan perlu menjelaskan perbuatan tidak jujur yang didakwa dilakukan Jamil Khir ketika memberikan kelulusan tersebut.
“Bukan sekadar pelaburan dibuat, menteri tandatangan, pelaburan rugi, maka menteri melakukan jenayah.
“Itu bukan standard yang sepatutnya digunakan dalam undang-undang jenayah,” katanya.
Suraya menegaskan, Seksyen 403 bukan kesalahan kerana membuat keputusan yang akhirnya terbukti salah, sebaliknya memerlukan pembuktian unsur ketidakjujuran.
Katanya, mesti ada bukti bahawa ketika keputusan dibuat, seseorang itu mempunyai niat tidak jujur untuk menyebabkan keuntungan salah kepada pihak tertentu atau kerugian salah kepada pihak lain.
“Kerugian yang diketahui beberapa tahun kemudian tidak boleh digunakan secara automatik untuk mencipta niat jahat pada masa lalu.
“Risiko pelaburan bukan niat jenayah,” katanya.
Menurut Suraya, sesebuah pelaburan mungkin disokong pegawai profesional, jawatankuasa pelaburan dan lembaga berdasarkan data yang munasabah pada ketika keputusan dibuat, tetapi mengalami kerugian beberapa tahun kemudian akibat perubahan pasaran atau kegagalan syarikat.
Beliau mempersoalkan sama ada seorang menteri boleh didakwa selepas bersara hanya kerana tandatangannya berada pada dokumen kelulusan terakhir.
“Kalau itu prinsipnya, siapa menteri yang akan berani membuat keputusan?
“Menteri yang paling selamat selepas ini ialah menteri yang tidak membuat apa-apa keputusan. Tidak tandatangan, tidak mengambil risiko, tidak membuat pelaburan dan tidak mencuba sesuatu yang baharu.
“Kalau berjaya, kerajaan mendapat keuntungan. Tetapi kalau gagal, menteri mungkin berdepan pertuduhan jenayah bertahun-tahun kemudian,” katanya.
Suraya berkata, keadaan itu bukan sahaja tidak adil kepada seseorang individu, malah boleh melumpuhkan pentadbiran kerajaan apabila menteri takut membuat keputusan.
Beliau turut membandingkan isu tersebut dengan kontroversi pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP dalam eFishery yang membawa kerugian besar.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mempertahankan prinsip bahawa pelaburan dibuat melalui proses profesional, usaha wajar, jawatankuasa pelaburan dan lembaga, manakala kerugian selepas itu tidak dengan sendirinya membuktikan rasuah atau jenayah.
“Prinsip itu betul, tetapi mesti digunakan kepada semua orang.
“Kalau sebuah pelaburan di bawah institusi kerajaan boleh rugi tanpa menjadikan Menteri Kewangan seorang penjenayah, prinsip yang sama mesti diberikan kepada menteri lain,” katanya.
Suraya mengakui struktur KWAP dan TH mungkin berbeza, namun menegaskan prinsip keadilan yang terpakai adalah sama, iaitu kerugian pelaburan tidak boleh dengan sendirinya dijadikan bukti niat jenayah.
Bagaimanapun, beliau berkata, keadaannya berbeza jika pendakwaan mempunyai bukti Jamil Khir menerima keuntungan peribadi, mengarahkan pelaburan bagi memberi manfaat kepada pihak tertentu, menyembunyikan fakta, memaksa lembaga meneruskan transaksi atau mengetahui pelaburan tersebut suatu penipuan.
“Kalau ada ketidakjujuran, buktikan ketidakjujuran. Kalau ada manfaat peribadi, buktikan manfaat peribadi. Kalau ada arahan tidak sah, buktikan arahan itu.
“Tetapi jangan jadikan kerugian pelaburan sebagai pengganti kepada bukti niat jenayah,” katanya.
Menurut Suraya, isu yang dibangkitkan bukan mengenai sokongan terhadap Jamil Khir sebagai individu, sebaliknya melibatkan standard undang-undang yang mahu ditetapkan terhadap semua menteri di Malaysia.
“Hari ini Jamil Khir. Esok seorang Menteri Kewangan. Lusa seorang Perdana Menteri.
“Selepas itu, mana-mana menteri yang pernah meluluskan projek, pelaburan, jaminan atau keputusan komersial kerajaan yang tidak menjadi seperti dirancang,” katanya. – SuaraTV



