KUALA LUMPUR – Umno tidak perlu menunggu untuk disingkirkan daripada kerajaan jika mahu mencabar kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, Umno ada tiga pilihan iaitu tarik balik sokongan Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan, menteri Umno letakkan jawatan atau kemuka usul undi tidak percaya terhadap Anwar apabila sidang Parlimen akan datang.
Pemimpin PKR itu, mempersoalkan cabaran Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada pengkritiknya supaya menyingkirkan Umno daripada Kerajaan Perpaduan. Zahid turut mencabar supaya membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Anwar.
Hassan berkata adalah tidak wajar untuk membuat ancaman seperti itu terutama pada Perhimpunan Agung Umno (PAU).
Katanya, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) ialah orang yang mengenang budi dan tidak sampai hati untuk memecat menteri Umno atau menyingkirkan parti itu.
Tambahnya, Umno perlu sedar bahawa Kerajaan Perpaduan bukanlah satu gabungan rasmi sebaliknya gabungan longgar dan bila-bila masa ia boleh tarik diri.
Menurutnya, adalah lebih baik Zahid ambil contoh seperti Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletakkan jawatan sebagai menteri selepas tewas di pemilihan PKR, lapor BH.
Baru-baru ini, Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, mengulangi ikrar Umno untuk kekal bersama kerajaan sehingga tamat tempoh penggal.


