Tidak perlu uji PAS, Tuan Ibrahim jawab Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – PAS menolak cadangan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu diadakan lebih awal bagi menguji keikhlasan parti itu menjalin kerjasama politik dengan UMNO.

Menurut laporan portal Free Malaysia Today (FMT), Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pilihan raya bukan medan percubaan atau alat untuk mengukur keikhlasan sesebuah kerjasama politik.

Menurutnya, tiada keperluan untuk mengadakan PRN Terengganu ketika ini kerana kerajaan negeri berada dalam keadaan stabil dan menunjukkan prestasi yang baik.

“Selagi tiada keperluan mendesak, rakyat tidak seharusnya dibebankan dengan tekanan politik dan kos untuk menghadapi pilihan raya negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab cadangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya pilihan raya diadakan di Terengganu sebagai bukti PAS ikhlas memperjuangkan penyatuan Melayu.

Tuan Ibrahim menegaskan, pilihan raya negeri sepatutnya hanya diadakan selepas tempoh pentadbiran semasa berakhir atau sekiranya wujud alasan mendesak untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, beliau berpandangan adalah lebih baik Parlimen dibubarkan bagi mendapatkan mandat baharu di peringkat nasional.

Pada masa sama, katanya, PN telah mengarahkan jentera pilihan rayanya supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO semalam mencadangkan PAS membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi menguji formula kerjasama dan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti.

Menurut Mohamad, sekiranya UMNO dan PAS dapat mencapai persetujuan mengenai formula rundingan kerusi di Terengganu, pendekatan sama boleh digunakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

UMNO gagal memenangi sebarang kerusi pada PRN Terengganu 2023 selepas tewas di kesemua 27 kerusi yang ditandinginya.

PN pula menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN, dengan PAS memenangi 27 kerusi manakala Bersatu memperoleh lima kerusi, sekali gus menyebabkan Terengganu tidak mempunyai wakil pembangkang buat pertama kali.

UMNO dan PAS kemudiannya membentuk kerjasama pilihan raya pada PRN Negeri Sembilan bulan lalu sehingga berjaya memenangi 26 daripada 36 kerusi.

Barisan Nasional (BN) dan PN sebelum ini turut dilihat berpotensi meneruskan kerjasama dalam PRN Melaka akan datang.

Bagaimanapun, rundingan itu dilihat berdepan kebuntuan selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan gabungan tersebut mahu mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenanginya pada 2021, manakala PN menyatakan rundingan masih berlangsung.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Dalam PRN 2021, BN memenangi 21 kerusi, Pakatan Harapan lima kerusi dan PN dua kerusi. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat