Kerajaan bersama bukan bermakna UMNO hanya ‘penumpang’ – Azalina

KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan adalah sebagai rakan kongsi kerajaan dan bukan sekadar ‘penumpang’ yang perlu menerima segala keputusan tanpa mengambil kira pendirian parti.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia. Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perkara itu jelas berdasarkan perjanjian post-election coalition agreement yang menjadi asas pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, walaupun pembahagian kerusi dalam kerajaan tidak semestinya dibuat secara berkadar antara parti-parti yang membentuk kerajaan, gabungan itu tetap menghasilkan majoriti 112 kerusi di Parlimen.

“Kita tak nafikan bahawa kita melihat kita adalah kerajaan bersama. Walaupun kongsi mungkin mereka lebih, kita kurang, ia bukan proportionate. Tetapi itu memberikan nombor 112 dalam Parlimen dan saya melihat bahawa kita tak boleh dilihat hanya sebagai penumpang. Kita juga sebahagian daripada kerajaan tersebut.

“Jadi nak meletakkan kita sebagai penumpang untuk menelan segala dalil ini, saya rasa agak tidak adil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), semalam.

Azalina berkata, selepas hampir tiga tahun Kerajaan Perpaduan dibentuk, perbezaan pendirian antara parti di peringkat negeri dan Persekutuan merupakan perkara yang boleh berlaku, malah tidak semestinya semua negeri menggunakan formula kerjasama politik yang sama.

Katanya, perjanjian berkenaan tidak mempunyai klausa yang menghalang parti-parti terbabit daripada bergerak secara berasingan atau menggunakan formula berbeza di peringkat negeri.

“Tiada dalam perjanjian itu menafikan kita hak untuk bergerak dalam beberapa bentuk di peringkat negeri-negeri. Kalau kita dengar ucapan beberapa hari ini, tidak semua negeri menggunakan formula yang sama.

“Dalam perjanjian itu, ia tidak pernah mengatakan bahawa kita tidak boleh bergerak sendiri atau secara berasingan dengan formula yang berbeza. Tidak ada klausa yang mengatakan kita dinafikan hak itu.

“Kita hanya melihat kepada pembentukan kerajaan Persekutuan dan kita sudah pun membentuk kerajaan Persekutuan,” katanya.

Pada masa sama, Azalina menegaskan UMNO akan terus menjalankan tanggungjawabnya secara profesional sebagai sebahagian daripada kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Kita sangat profesional dalam menjalankan tugas sebagai ahli politik dan menteri. Jadi tidak ada elemen kita tidak menjalankan tugas untuk kerajaan Persekutuan.

“Tetapi bagi kerajaan negeri, ukurannya ialah pilihan raya negeri yang sememangnya diperuntukkan secara perlembagaan melalui undang-undang tubuh negeri,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa tindakan UMNO bergerak mengikut pendirian sendiri di peringkat negeri boleh dianggap sebagai bentuk ‘kederhakaan’ terhadap Kerajaan Perpaduan, Azalina berkata pandangan itu adalah keterlaluan.

Beliau turut memberi contoh situasi di Sabah, apabila Parti Warisan (Warisan) menjadi sebahagian daripada gabungan yang menyokong kerajaan di peringkat Persekutuan, namun pada masa sama berada di blok pembangkang di peringkat negeri.

“Di Sabah, Warisan adalah sebahagian daripada gabungan kerajaan di peringkat Persekutuan, tetapi mereka adalah pembangkang di negeri. Mereka juga bertanding sebagai pembangkang utama.

“Saya tidak melihat elemen kederhakaan itu ditujukan kepada Parti Warisan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat