Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Selaras dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), lebih 350 peserta menyertai Larian FCC Nadi Hijau – Larian untuk Hutan Bandar yang berlangsung dekat sini baru-baru ini, sebagai satu inisiatif untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan hutan dan hutan bandar.
Larian sejauh 5 kilometer ini bermula di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan berakhir di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur, dengan acara pelepasannya telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Syed Ibrahim Syed Noh.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Dato’ Hj. Roslan Rani; dan Pegawai Yang Menjalankan Tugas-Tugas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Forest Fund (MFF), Suhaini Haron.
MFF dalam kenyataan berkata, penganjuran larian ini merupakan hasil kerjasama antara MFF, JPSM dan Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (JPWP), bersempena program Communication, Education and Public Awareness (CEPA) dan Penghijauan Malaysia.
Katanya, larian ini merupakan satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan hutan serta menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah yang dekat dengan elemen alam sekitar dan pemuliharaan.
“Program ini turut menjadi platform komunikasi dan penglibatan awam bagi memperkenalkan Projek Forest Conservation Certificate (FCC) di bawah pengurusan
Jabatan Pengurusan Wilayah, iaitu Projek Penyediaan Pelan Pengurusan Hutan bagi JPWP (2026–2035).
“Projek ini bertujuan memperkukuh perancangan dan pengurusan hutan di Wilayah Persekutuan melaluipendekatan yang lebih menyeluruh, mampan dan responsif terhadap keperluan semasa.
“Antara fokus utama projek tersebut adalah menyemak dan mengemas kini pelan pengurusan hutan, memperkukuh pemuliharaan dan perlindungan hutan sedia ada serta mengenal pasti peluang bagi pembangunan aktiviti ekopelancongan berimpak rendah yang bersesuaian dengan fungsi dan kapasiti kawasan hutan,”katanya lagi.
Dalam kenyataan yang sama, Suhaini berkata, larian ini membawa mesej yang mudah tetapi bermakna. Setiap langkah yang kita ambil untuk menjaga kesihatan diri juga boleh menjadi langkah untuk menjaga alam sekitar.
“Melalui Larian FCC Nadi Hijau, kita mahu meningkatkan kesedaran bahawa hutan adalah sebahagian daripada kehidupan kita dan pemeliharaannya memerlukan penglibatan semua pihak.
“Larian ini turut menggalakkan penglibatan sektor korporat dalam menyokong agenda konservasi hutan negara, ”katanya.
Katanya lagi, melalui penyertaan dan sokongan yang diberikan, syarikat-syarikat korporat berpeluang menzahirkan komitmen terhadap amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Tanggungjawab Korporat (CSR), di samping menyumbang secara langsung kepada usaha pemeliharaan khazanah hutan negara.
Ujarnya, sokongan yang diberikan bukan sahaja menyumbang kepada kelancaran penganjuran program, malah mencerminkan komitmen sektor korporat dalam menyokong usaha pemuliharaan hutan dan kelestarian alam sekitar.
“MFF berharap Larian FCC Nadi Hijau dapat menjadi satu platform berterusan yang menghubungkan kesihatan, komuniti dan pemuliharaan alam sekitar.
“Di samping itu, memperkukuh kesedaran bahawa usaha melindungi hutan negara merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan sokongan masyarakat, sektor korporat dan pelbagai pihak berkepentingan,”ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, MFF merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua rakan strategik, penaja dan pihak yang telah memberikan sokongan dalam menjayakan Larian FCC Nadi Hijau, khususnya Mampani Malaysia Sdn. Bhd. (Mampani) sebagai penaja utama dan KPMG Malaysia. – SUARA.TV



