BN boleh pertahankan Pahang, tapi kerjasama dengan PN akan beri kemenangan selesa – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR – Kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berpotensi memberikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, tiga kemungkinan jajaran politik telah dinilai dalam tiga siri pemukiman melibatkan kepimpinan UMNO Pahang dan ketua-ketua bahagian.

Pilihan berkenaan ialah BN meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), membentuk kerjasama bersama PN-PAS atau bergerak secara solo.

“Sebenarnya, kami ingin mendapatkan jajaran politik yang sebaiknya. Ada tiga pilihan.

“Presiden beritahu, negeri boleh buat (perbincangan), tetapi jangan buat keputusan. Jadi, kami buat untuk mendapatkan pandangan.

“Apakah di Pahang ini, BN bersama PH, BN dengan PN-PAS ataupun BN bergerak solo?” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, hari ini.

Menurut Menteri Besar Pahang itu, hasil penilaian mendapati BN berpeluang menang menerusi ketiga-tiga pilihan tersebut, tetapi dengan tahap kemenangan dan risiko yang berbeza.

“Yang menariknya, daripada ketiga-tiga cadangan tersebut, semuanya BN boleh menang. Itu yang peliknya.

“Cuma, kalau hendak selesa, hendak ‘cuci tangan’, dengan PN,” katanya, yang memberi gambaran kerjasama tersebut boleh memberikan kemenangan lebih besar dan selesa kepada BN.

Wan Rosdy berkata, kerjasama dengan PH pula boleh mengakibatkan BN kehilangan kira-kira 15 peratus sokongan pengundi Melayu, namun masih berpeluang menang.

Jika memilih untuk bertanding secara solo, BN juga diramal mampu menang tipis, tetapi berhadapan risiko yang sangat tinggi.

“Setakat hari ini, masih lagi dalam perbincangan. Insya-Allah, apabila semua maklumat diperoleh, saya dan rakan-rakan akan menghadap Presiden untuk berbincang lebih lanjut sebelum membuat keputusan,” katanya.

Wan Rosdy menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenai kerjasama politik di Pahang belum dimuktamadkan dan akan diputuskan selepas perbincangan lanjut bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

– SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat