KUALA LUMPUR – DAP didakwa semakin resah melihat usaha ke arah penyatuan Melayu-Islam kerana bimbang kehilangan kuasa sekiranya orang Melayu kembali bersatu.
Jurucakap Pulau Pinang, Datuk Haji Mohd Zaidi Mohd Said berkata, kebimbangan sebenar DAP bukan semata-mata terhadap PAS atau Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebaliknya terhadap kemungkinan berlakunya permuafakatan politik Melayu-Islam.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, hari ini.
“Yang paling takut kepada apa yang dibuat oleh Presiden hari ini adalah DAP. DAP mula rasa resah, gelisah. Mereka tak boleh tengok bagaimana muafakat Melayu itu berlaku.
“Kerana apabila Melayu itu bersatu, nescaya mereka tidak akan berkuasa lagi dalam negara ini,” katanya.
Mohd Zaidi mendakwa pelbagai cara akan digunakan untuk memecah-belahkan perpaduan Melayu-Islam, termasuk kemungkinan muncul pemimpin dalam kalangan parti Melayu sendiri yang tidak senang melihat permuafakatan tersebut berlaku.
“Jadi apa cara sekalipun mereka akan gunakan untuk memecah-belahkan perpaduan Melayu-Islam ini.
“Bukan mustahil apabila nanti ada pemimpin-pemimpin Melayu-Islam sendiri, tak kiralah daripada PAS atau UMNO, yang tidak suka melihat kepada permuafakatan ini.
“Kerana akan datang manusia-manusia yang tidak mahu melihat kita bersatu. Kerana apa? Kerana mereka ingin terus berkuasa,” katanya.
Dalam perbahasan sama, Mohd Zaidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh menolak dakwaan bahawa UMNO sebuah parti rasis dan hanya memperjuangkan kepentingan orang Melayu sehingga meminggirkan kaum lain.
Sebaliknya, beliau mendakwa DAP sejak sekian lama menanam persepsi negatif terhadap UMNO dan orang Melayu sehingga menyebabkan hubungan antara masyarakat semakin renggang.
Mohd Zaidi menjadikan pengalamannya menghantar dua anaknya ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sebagai contoh bahawa perjuangan UMNO tidak berteraskan kebencian terhadap kaum lain.
“Kalau saya rasis, kalau UMNO menanam sikap rasis ini, saya tak hantar anak saya ke sekolah Cina.
“Maknanya UMNO ini kalau menanam sikap rasis, kita benci pada orang Cina, ini dah lama. Tetapi tidak. Kita memupuk semangat muafakat sesama kita. Sebab itulah kita boleh hidup bertoleransi dengan baik,” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta ahli UMNO terus memberikan kepercayaan kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam menentukan hala tuju politik UMNO.
Mohd Zaidi turut menyentuh keputusan Ahmad Zahid membawa UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), yang sebelum ini mengundang kritikan dan menyebabkan parti itu dilabel sebagai “UMDAP”.
Bagaimanapun, beliau berpandangan keputusan untuk bekerjasama dengan PKR boleh dilihat sebagai satu strategi taktikal politik kerana DAP dan PKR saling memerlukan antara satu sama lain untuk mendapatkan kuasa.
“Datuk Presiden memilih strategi taktikal yang luar biasa, berkawan dengan PKR. Dan akhirnya apa yang Datuk Seri buat? Melemahkan PKR. Apabila PKR lemah, maka DAP akan tumbang sekali.
“Sebab DAP tak boleh memerintah tanpa PKR. Dan PKR juga tidak boleh menjadi berkuasa tanpa DAP. Kita tak boleh bunuh dua-dua sekali,” katanya.
Menurutnya, DAP kini menyedari bahawa sokongan masyarakat Melayu terhadap PKR semakin berkurangan dan keadaan itu turut boleh memberi kesan kepada kedudukan parti berkenaan.
“Hari ini DAP dah nampak PKR ini dah tak dapat sokongan daripada orang Melayu lagi. Orang Melayu dah meninggalkan PKR.
“Maka DAP sedar bahawa tanpa sokongan Melayu dalam PKR, mereka juga akan hilang kuasa dalam negara ini,” katanya.
Beliau menyifatkan pendekatan Ahmad Zahid itu sebagai strategi politik yang sukar dibaca pada peringkat awal.
“Jadi Datuk Seri Presiden, langkah beliau sangat luar biasa, bijak dan cukup hebat. Cuma kita tidak menjangkakan bahawa untuk bunuh DAP, perlu bunuh sahabat DAP dulu.
“Ini adalah taktikal Jawa yang sangat luar biasa, yang tidak mungkin kita boleh baca sebelum ini,” katanya.
Mengakhiri perbahasannya, Mohd Zaidi menyatakan sokongan Pulau Pinang terhadap kepimpinan parti selain menyeru UMNO meneruskan kebangkitan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Mudah-mudahan UMNO akan terus bangkit berjaya dalam PRU ke-16 nanti. Membujur lalu, melintang patah. Insya-Allah Pulau Pinang mohon menyokong,” katanya.


