KUALA LUMPUR – Langkah pencegahan segera perlu diambil atas sebab keselamatan untuk menghindarkan kejadian serangan anjing liar ke atas kanak-kanak memandangkan golongan itu amat mudah berisiko untuk berdepan haiwan agresif.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dalam satu kenyataan hari ini berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diharapkan tidak lagi mengambil sikap reaktif hanya selepas berlaku tragedi serangan anjing liar yang mengorbankan nyawa atau mendatangkan kecederaan.
Baru-baru ini di Batu Pahat, Johor 5 September lepas melibatkan kanak-kanak berumur 2 tahun, Nur Haira Wafiqah yang cedera parah dalam serangan melibatkan lima ekor anjing liar di luar rumah neneknya pada kira-kira pukul 7 pagi.
Mangsa mengalami kecederaan hampir di seluruh badan dan terpaks dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Terbaharu ialah pagi semalam melibatkan seorang pelajar Tingkatan 1 diserang seekor dari tujuh anjing liar di Melaka ketika dalam perjalanan ke sekolah di Krubong.
Dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, Muhammad Anas Fakhry Mohamad Azdly Shah, 13 tahun, yang sedang menunggang basikal dari Taman Krubong Perdana menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong dikejar sekumpulan enam hingga tujuh ekor anjing.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak berkata, kejadian itu tidak boleh dilihat sebagai insiden terpencil memandangkan sekurang-kurangnya lapan kes serius dilaporkan media sejak tahun 2013 membabitkan serangan anjing yang berkeliaran ke atas kanak-kanak termasuk yang meragut nyawa.
Antara kes yang direkodkan menerusi laporan media membabitkan tiga kematian kanak-kanak iaitu di Semporna pada 2024, Sungai Buloh pada 2025 dan kes terbaharu di Kuching tahun ini membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang meninggal dunia akibat jangkitan rabies.
“Kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup, bermain dan pergi ke sekolah dalam persekitaran yang selamat.
“Saiz fizikal mereka yang kecil serta keupayaan yang terbatas untuk mempertahankan diri menyebabkan golongan ini amat mudah terdedah kepada bahaya serangan haiwan agresif,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri serta PBT dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk segera memetakan kawasan panas anjing liar sering berkeliaran.
“Fokus utama pemantauan harus diberikan di lokasi tumpuan kanak-kanak seperti persekitaran sekolah, taska, tadika, taman permainan, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kawasan perumahan.
“Pihak berkuasa juga perlu memberi keutamaan kepada aduan awam membabitkan anjing liar berkumpulan serta menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme tindakan susulan yang jelas bermula daripada penerimaan aduan hingga ke peringkat pemantauan,” ujar kenyataan itu lagi.
Jelasnya lagi, operasi tangkapan bersepadu antara PBT dan DVS perlu dilaksanakan secara berterusan tanpa menunggu sehingga berlakunya kecederaan serius.
“Suhakam turut menyarankan pembentukan sistem pengumpulan data nasional yang lebih kukuh mengenai serangan haiwan membabitkan kanak-kanak bagi memantau tahap kecederaan, umur mangsa dan risiko penyakit seperti rabies.
“Bagi penyelesaian jangka panjang, pengurusan populasi haiwan perlu merangkumi kesedaran pemilikan yang bertanggungjawab, pendaftaran dan pelesenan, pensterilan berasaskan bukti serta kawalan sisa makanan secara berkesan dengan kerjasama komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.



