KUALA LUMPUR – UMNO menuntut siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang mengendalikan dan membiayai rangkaian kira-kira 1,000 akaun palsu di platform X yang didakwa menyasarkan pengguna di Malaysia.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pendedahan mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mempengaruhi perbincangan politik negara perlu dipandang serius.
Walaupun belum ada bukti bahawa operasi tersebut berjaya mengubah keputusan pilihan raya atau pendirian pengundi, katanya, beberapa persoalan penting masih belum terjawab.
“Persoalan penting sekarang ialah siapa yang mengendalikan operasi ini, siapa yang membiayainya dan untuk kepentingan siapa ia dilakukan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Semalam, Suara.TV melaporkan syarikat kecerdasan buatan Amerika Syarikat, Anthropic, mendedahkan sebuah platform manipulasi pilihan raya komersial didakwa mengendalikan kira-kira 1,000 akaun palsu di X untuk menyasarkan pengguna di Malaysia.
Dalam laporan bertajuk Detecting and Countering Misuse of AI: September 2026, Anthropic berkata, operasi yang dikenal pasti sebagai GTG-84005 itu turut melibatkan sebuah portal berita rekaan dikenali sebagai Malaysia Pulse dan beberapa dossier mengandungi tuduhan palsu.
Operasi tersebut didakwa menggunakan data banci, data pilihan raya dan jutaan rekod pengundi untuk membina profil serta menyasarkan isu sensitif melibatkan kaum, agama dan institusi diraja di kesemua 222 kawasan Parlimen.
Anthropic turut mendakwa pengendali platform itu pernah membuat permintaan untuk menjana sejuta tontonan buatan bagi menyokong akaun Perdana Menteri Malaysia yang sedang memegang jawatan.
Bagaimanapun, syarikat berkenaan tidak menyatakan bahawa sasaran sejuta tontonan itu berjaya dicapai. Anthropic juga menjelaskan angka yang direkodkan oleh sistem pengendali berkenaan tidak dapat disahkan secara bebas.
Mengulas isu tersebut, Azalina berkata, rakyat perlu lebih berhati-hati terhadap kandungan yang dilihat di media sosial kerana sesiapa sahaja kini boleh mewujudkan halaman yang kelihatan seperti portal berita atau laman maklumat.
Menurutnya, berita sebenar boleh dicampurkan dengan cerita separuh benar, tajuk mengelirukan atau fakta yang dikeluarkan daripada konteks sehingga membentuk persepsi salah.
“Perkara yang lebih membimbangkan ialah manipulasi di ruangan komen. Akaun palsu atau bot berasaskan AI boleh digunakan untuk menghasilkan banyak komen yang menyokong sesuatu pihak atau menyerang pihak lain.
“Apabila perkara sama diulang oleh puluhan atau ratusan akaun, orang ramai boleh mendapat gambaran seolah-olah itulah pendapat majoriti rakyat,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa jumlah komen yang banyak tidak semestinya menggambarkan pandangan sebenar rakyat, manakala komen yang paling kuat atau paling kerap diulang juga tidak semestinya benar.
“Tidak semua akaun yang kelihatan seperti manusia sebenar semestinya mewakili manusia sebenar dan tidak semua perbualan di media sosial berlaku secara organik,” katanya.
Azalina berkata, UMNO sendiri tidak terkecuali daripada serangan persepsi apabila parti itu sering digambarkan sebagai jahat, korup atau tidak beramanah menerusi tuduhan yang diulang berkali-kali di ruangan komen.
Namun, beliau menegaskan UMNO tidak mendakwa semua kritikan terhadap parti berkenaan adalah palsu atau datang daripada bot.
“Rakyat mempunyai hak untuk mengkritik UMNO, kerajaan atau mana-mana pemimpin. Kritikan yang berasaskan fakta mesti dihormati,” katanya.
Beliau turut mengambil maklum penjelasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung laporan Anthropic serta berharap setiap siasatan dan tindakan penguatkuasaan dilakukan secara adil tanpa mengira parti atau pihak yang terlibat.
“Jika penyokong parti pemerintah melanggar undang-undang, ambil tindakan. Jika penyokong parti pembangkang melanggar undang-undang, ambil tindakan.
“Undang-undang tidak boleh mempunyai satu ukuran untuk kawan dan satu lagi ukuran untuk lawan,” tegasnya.
Azalina menyeru rakyat menyemak sumber dan fakta serta membezakan antara berita dengan pendapat sebelum mempercayai sesuatu kandungan di media sosial.
“Teknologi boleh menghasilkan seribu akaun dan seribu komen. Tetapi teknologi tidak boleh menentukan kebenaran dan apa yang sebenarnya rakyat rasai di bawah.
“Demokrasi Malaysia mesti dipertahankan daripada sebarang bentuk manipulasi dan campur tangan asing,” katanya.


