KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil membalas sindiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai istilah “guru” menerusi satu hantaran bernada sinis di Facebook malam ini.
Perdana Menteri yang selamat tiba di New Delhi, India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS Ke-18 merujuk dirinya sebagai “Guru” dan pemimpin UMNO sebagai “anak didik”.
“Alhamdulillah Guru selamat tiba di New Delhi, India untuk membawa nama negara di pentas dunia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.
“Doakan misi diplomasi negara ini mencapai matlamatnya. Semoga anak didik dapat belajar dari Guru cara Diplomasi MADANI diterjemahkan. Slayyy,” tulisnya.
Hantaran itu turut disertakan emoji mengecat kuku serta tanda pagar #MalaysiaMADANI, #DiplomasiMADANI dan #GuruMADANI.
Walaupun Anwar tidak menyebut sebarang nama, penggunaan berulang perkataan “Guru” dan “anak didik” dilihat sebagai jawapan langsung terhadap sindiran Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Terdahulu, Ahmad Zahid mencuri perhatian apabila secara terbuka meminta “guru” mendengar suara UMNO.
“Cukup-cukuplah, guru. Dengarlah suara kami, guru,” katanya sebelum menegaskan UMNO mampu melakukan yang lebih baik.
Istilah “guru” dipercayai merujuk kepada Anwar berdasarkan hubungan panjang kedua-dua pemimpin itu dalam politik, termasuk pengakuan Ahmad Zahid sebelum ini bahawa Perdana Menteri berkenaan merupakan antara gurunya.
Pertukaran sindiran itu berlaku ketika Ahmad Zahid menyampaikan mesej lebih tegas berhubung kedudukan dan tuntutan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
Respons pantas Anwar dari New Delhi pula memperlihatkan Perdana Menteri bukan sahaja memahami sindiran tersebut, malah memilih untuk menjawabnya secara terbuka menggunakan bahasa santai dan sindiran yang lebih tajam.


