Skandal 1MDB masih ada beban kewangan perlu ditanggung kerajaan, bernilai kira-kira RM51.4 bilion

KUALA LUMPUR – Beban kewangan yang didakwa terpaksa ditanggung oleh kerajaan ketika ini ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum selesai walaupun Kerajaan Persekutuan sudah membayar RM42.5 bilion setakat 31 Mei lalu.

Angka itu adalah dari jawapan rasmi Kementerian Kewangan di Parlimen pada 9 Julai lepas.

Timbalan Ketua Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy dalam satu kenyataan hari ini berkata, skandal itu bukan satu sejarah lama yang boleh dianggap selesai begitu sahaja.

“Rakyat masih menanggung kesan kewangan daripada skandal itu sehingga ke hari ini,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan masih perlu menanggung RM5 bilion prinsipal dan RM3.9 bilion faedah Sukuk IMTN sehingga matang pada tahun 2039 yang menjadikan keseluruhan tanggungan sekitar RM51.4 bilion.

Sivamalar berkata, bebanan itu dibayar menggunakan sumber kewangan negara yang pada akhirnya merupakan wang rakyat dan pembayar cukai.

“Ini bermakna kesan kewangan 1MDB bukan sahaja dirasai hari ini, malah masih membebankan kewangan awam untuk tahun-tahun akan datang,” kata Sivamalar.

Katanya, jumlah itu tentu mempunyai nilai besar kepada rakyat jika dapat disalurkan kepada keperluan negara seperti sekolah, hospital, pengangkutan awam, perumahan dan membantu keluarga yang berdepan tekanan kos sara hidup.

“Ini bukan soal dendam politik. Ini soal amanah, akauntabiliti dan tanggungjawab kepada rakyat Malaysia,” jelasnya.

Sivamalar berkata mereka yang diberikan kuasa mesti sentiasa ingat bahawa wang negara adalah wang rakyat.

“Sebarang penyalahgunaan amanah membawa kesan yang akhirnya perlu ditanggung oleh rakyat,” katanya.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat