KUALA LUMPUR – Satu siasatan akan dijalankan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor berkaitan dakwaan penjualan penempatan bilik di Koleh Kediaman Casuarina, Kampus Puncak Alam yang viral sebelum ini.
Menurut Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Selangor dalam satu kenyataan, pihak pengurusan kampus memandang serius dakwaan berkenaan dan sedang mendapatkan maklumat berkaitan kejadian itu.
“Sebarang tindakan akan diambil berdasarkan hasil siasatan serta peraturan universiti yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Pihak UiTM memberi peringatan kepada semua pelajar supaya tidak terlibat dalam sebarang urusan jual beli, penjualan, pemindahan atau pertukaran petempatan kolej kediaman dengan mana-mana pihak.
Menurutnya, semua urusan tentang soal penempatan perlu diselesaikan mengikut saluran rasmi yang sudah ditetapkan pengurusan universiti.
Pelajar turut dinasihatkan supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran penempatan yang tidak sah atau mencurigakan bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan, menurut kenyataan itu.
“Mana-mana pelajar yang didapati terlibat dalam urusan yang melanggar peraturan universiti boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Pihak pengurusan kampus menghargai kerjasama seluruh warga pelajar dalam memastikan keselamatan, kebajikan dan integriti komuniti kolej kediaman sentiasa terpelihara, ujarnya.
“Sebarang maklumat berkaitan isu itu boleh disalurkan melalui saluran rasmi UiTM Cawangan Selangor untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.


