KUALA LUMPUR – Pemuda Umno mengambil maklum dan menjunjung kasih atas keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Menurut ketuanya Datuk Dr Akmal Saleh, Pemuda Umno menghormati keputusan untuk menangguhkan pertimbangan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Akmal menegaskan, kuasa pengampunan diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru, proses ini mesti dihormati sepenuhnya tanpa sebarang tekanan, desakan atau campur tangan politik daripada mana-mana pihak.
“Pemuda Umno akan terus berpegang kepada saluran undang-undang dan Perlembagaan.
“Kami menyeru semua pihak agar menghormati proses ini dan tidak mempolitikkan kuasa pengampunan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” ujar Akmal.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan, permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
BHEUU memaklumkan perkara itu susulan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung hari ini.
Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut berkenan membebaskan 65 banduan berkuat kuasa pada 11 September 2026.
“Semua banduan bukan warganegara hendaklah diusir dan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.
“Seri Paduka Baginda juga berkenan supaya permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, kenyataan berkenaan tidak menyatakan tarikh mesyuarat seterusnya atau sebab permohonan pengampunan Najib ditangguhkan.


